KERAJAAN Somalia mengarahkan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meninggalkan negara itu selepas mendakwa pegawai itu sengaja mengganggu kedaulatan negara itu.
Arahan itu dibuat beberapa hari selepas pegawai terbabit, Nicholas Haysom membangkitkan persoalan tentang tindakan pasukan keselamatan Somalia yang disokong PBB dalam keganasan baru-baru ini sehingga mengakibatkan beberapa orang terbunuh.
“Wakil Khas PBB ke Somalia, Nicholas Haysom tidak lagi dialu-alukan di Somalia dan tidak boleh bertugas di negara ini,” kata kementeria luar negara itu dalam satu kenyataan lewat semalam.
Tiada maklum balas diterima daripada pihak PBB di Somalia berhubung perkara itu.
Pasukan keselamatan Somalia menggunakan kekerasan untuk menamatkan tunjuk perasaan di pekan Baidoa pada 13 hingga 15 Disember lalu, menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 300 lagi ditahan, kata PBB.
Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi itu bagi membantah penahanan Muktar Robow, seorang bekas pemimpin Islam yang mahu bertanding untuk pilihan raya wilayah.
Robow, yang belot daripada pergerakan militan Al-Shabaab pada 2017, ditahan oleh kerajaan kerana menggugat keamanan negara dan dibawa ke Mogadishu.
Keputusan Robow untuk bertanding dalam kerajaan mencetuskan ketegangan antara kerajaan negeri Somalia yang mahu kuasa autonomi daripada dikekang oleh kerajaan pusat.
Misi PBB di Somalia adalah untuk menyokong usaha damai dan mengukuhkan institusi kerajaan di negara itu selepas perang saudara selama puluhan tahun merencatkan pembangunannya.
Antara sokongan yang diberikan adalah membayar gaji polis, menyediakan logistik termasuk latihan dan uniform.
Haysom pada 30 Disember lalu menulis kepada kerajaan Somalia untuk bertanyakan maklumat penahanan Robow selain menggesa siasatan dijalankan terhadap kematian penunjuk perasaan di Baidoa.
Haysom merupakan seorang peguam Afrika Selatan dan diplomat berpengalaman yang sebelum ini dihantar ke Sudan dan Sudan Selatan.
Beliau mula bertugas di Somalia pada September 2018. – AFP, 2 Januari, 2019.
Komen