PAS akan menubuhkan jentera pilihan rayanya bagi membantu MIC dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, kata Takiyuddin Hassan.
Setiausaha agung PAS itu berkata parti itu akan menjalankan aktiviti sendiri dan menyelaras dengan pasukan MIC bagi membantu mereka kekal di kerusi itu.
Takiyuddin yang juga ahli Parlimen Kota Baru berkata parti itu yakin pembangkang akan dapat mengekalkan Cameron Highland kerana margin kemenangan pada PRU14 agak tipis.
“Calon kami (Wan Mahadir Wan Mahmud) menerima 3,587 undi pada PRU14 tahun lalu. Tambah dengan undi Barisan Nasional, kerusi itu mampu dikekalkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Parti Islam itu tidak akan menyertai PRK berkenaan dan membina hubungannya dengan parti etnik India itu.
Tahun lalu, pemimpin tertinggi MIC bertemu Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan pemimpin kanannya dalam usaha memperbaiki hubungan dan mencari persamaan terhadap menentang Pakatan Harapan.
Pada PRU14, calon MIC Sivarraajh Chandran menang dengan undi majoriti 597 selepas menerima 10,307 undi berbanding calon DAP M Manogaran (9,710), Wan Mahadir daripada PAS (3,587), Suresh Kumar Balasubramaniam daripada PSM (680) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81).
Pengundi berdaftar di Cameron Highland pada pilihan raya lalu ialah 32,048 dengan jumlah keluar mengundi 76% (24,365).
Hari penamaan calon PRK itu diadakan pada 12 Januari. PRK Cameron Highland diadakan susulan Mahkamah pilihan Raya membatalkan keputusan PRU14 pada 30 November selepas memutuskan bahawa Sivarraajh membeli undi.
Sivarraajh tidak akan bertanding semula di kerusi itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya minggu lalu memutuskan bahawa naib presiden MIC itu tidak layak kerana disabitkan dalam amalan rasuah bagi memenangi kerusi Parlimen itu pada Mei lalu.
Takiyuddin berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat beberapa hari lagi untuk memilih siapa akan mengetuai jentera PAS di Cameron Highlands.
Walaupun masih terlalu awal untuk mengesahkan sama ada Hadi akan mengambil bahagian dalam kempen, Takiyuddin berkata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pasti akan terbabit.
“Tuan Ibrahim ialah pengerusi PAS Pahang dan timbalan presiden, dan beliau akan memainkan peranan besar dalam kempen ini,” katanya. – 2 Januari, 2018.
Komen