Putrajaya pertimbang batal pengharaman buku G25


Bede Hong

Buku terbitan G25 diharamkan pada Julai 2017 oleh Barisan Nasional kerana didakwa memudaratkan ketenteraman awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2019.

KERAJAAN mungkin akan membatalkan pengharaman sebuah buku Islam moderat yang diterbitkan kumpulan pesara penjawat awam, G25, kata peguam mewakili kumpulan itu.

Kumpulan itu memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2017 untuk mencabar pengharaman buku “Breaking Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy”.

Pada September tahun ini, G25 merayu kepada Kerajaan Pakatan Harapan supaya membatalkan pengharaman itu, selari dengan pendirian PH yang menyokong kebebasan bersuara.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Januari ini sebagai tarikh bicara selepas peguam kerajaan memberitahu mahkamah hari ini yang Putrajaya akan mengambil kira rayuan G25, kata peguam kumpulan itu Surendra Ananth.

Di bawah pentadbiran Barisan Nasional, Kementerian Dalam Negeri mengazetkan pengharaman buku tersebut pada 27 Julai 2017 atas alasan ia “memudaratkan ketenteraman awam”.

Buku tersebut yang mengandungi karya tulisan sarjana dan aktivis diterbitkan pada 2015 dengan prakata ditulis bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

G25 terdiri daripada pesara penjawat awam kanan Melayu Islam yang lantang bersuara dalam konflik antara undang-undang Syariah dan sivil serta menggesa reformasi peranan pihak berkuasa agama. – 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen