KEPUTUSAN Australia untuk melucutkan kewarganegaraan suspek pengganas IS diragukan hari ini, selepas timbul berita yang dia tidak mempunyai dua kewarganegaraan.
Neil Prakash dituduh menjadi ahli kumpulan pengganas dan bulan lepas diumumkan sebagai rakyat ke-12 Australia yang memegang dua kewarganegaraan dilucutkan hak warganegara.
Tetapi pihak berkuasa Fizi memberitahu media tempatan yang Prakash bukanlah warga Fizi seperti dipercayai Australia, mencetuskan persoalan tentang kesahan tindakan kerajaan.
Undang-undang Australia membenarkan kewarganegaraan ditarik balik jika seseorang mempunyai dua kerakyatan.
Prakash- perekrut kanan untuk IS dan dikaitkan dengan plot keganasan untuk membunuh warga Australia- sedang berdepan pendakwaan di Turki kerana menyertai pengganas.
Pengarah Jabatan Imigresen Fiji Nemani Vuniwaqa memberitahu Fiji Sun yang “Neil Prakash tidak pernah menjadi warga Fiji. Dia dilahirkan di Australia dan mendapat kewarganegaraan Australia sejak lahir.”
Prakash dipercayai layak untuk kewarganegaraan Fiji menerusi ibu bapanya, tetapi “dia tidak pernah memasuki negara atau memohon kerakyatan,” kata Vuniwaqa dipetik berkata.
Pendedahan itu memalukan untuk Menteri Dalam Negeri Australia Peter Dutton yang dituduh pembangkang, parti Buruh sebagai tidak cekap.
Dalam satu kenyataan, Dutton berkata keputusan melucutkan kewarganegaraan Prakash masih sah dan ia dilakukan selepas rundingan dengan “beberapa jabatan kerajaan”.
“Kerajaan berhubung rapat dengan Kerajaan Fiji sejak En Prakash ditentukan hilang kewarganegaraannya,” kata Dutton.
“Australia akan terus bekerjasama dengan Fiji tentang isu ini dan pelbagai lagi perkara kepentingan bersama.”
Tetapi keputusan itu nampaknya akan membawa kepada kemelut perundangan, dengan perdebatan sama ada syarat dua kerakyatan cukup untuk membatalkan kewarganegaraan Australia.
Australia juga adalah negara yang terlibat dalam konvensyen PBB mengenai orang tanpa warganegara. – AFP, 2 Januari, 2019.
Komen