Trump teruja tunggu pertemuan kedua dengan Korea Utara


Pada sidang kemuncak di Singapura pada Jun tahun lalu, Donald Trump dan Kim Jong Un menandatangani perjanjian terhadap pemberhentian nuklear di semenanjung Korea. – Gambar EPA, 2 Januari, 2019.

PRESIDEN Donald Trump berkata beliau tidak sabar menghadiri satu lagi sidang kemuncak dengan Kim Jong Un, sehari selepas pemimpin Korea Utara itu memberi amaran Pyongyang mungkin ambil pendekatan berbeza terhadap rundingan nuklear jika sekatan ekonomi dikenakan Amerika Syarikat (AS) berterusan.

“Saya juga tidak sabar bertemu dengan Pengerusi Kim yang tahu sangat bahawa Korea Utara memiliki potensi ekonomi yang besar,” kata Trump di Twitter.

Pemimpin AS itu membuat ulasan berkenaan selepas memetik liputan akhbar tentang kenyataan Tahun Baru 2019 Kim bahawa Korea Utara tidak akan lagi membuat atau melakukan ujian senjata nuklear.

Pada sidang kemuncak dengan Trump di Singapura pada Jun tahun lalu, kedua-dua pemimpin itu menandatangani perjanjian terhadap pemberhentian nuklear di semenanjung Korea.

Tetapi tiada perkembangan setakat ini dengan Pyongyang dan Washington masih berbalah berkenaan isi perjanjian itu.

Trump sebelum ini berkata beliau berharap mengadakan pertemuan kedua dengan Kim awal tahun ini.

Tetapi Korea Utara mendesak supaya dilepaskan daripada beberapa sekatan berhubung pengharaman senjata nuklearnya dan program senjata balistik, dan mengecam AS kerana mendesak program nuklearnya dihentikan dengan “gaya gengster”.

Kim dalam ucapannya berkata jika AS terus dengan sekatan itu, “kita mungkin cari cara baharu untuk mempertahankan kedaulatan negara ini dan kepentingannya.”

Katanya, beliau sedia bertemu Trump bila-bila masa saja dan akan cuba mendapatkan keputusan yang dipersetujui oleh masyarakat antarabangsa. – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen