Australia tutup pusat tahanan pendatang kontroversi


Kerajaan Liberal berdepan tentangan hebat rakyat kerana dasar imigresennya yang ketat dan tegas. – Gambar AFP, 2 Januari, 2019.

AUSTRALIA mengumumkan penutupan Pusat Tahanan Maribyrnong yang kontroversi di Melbourne hari ini, salah satu pusat yang menahan pendatang tanpa izin.

Kerajaan berkata keputusan untuk menutup pusat yang jadi sasaran kecaman itu “adalah satu lagi kejayaan dalam mengurangkan rangkaian tahanan imigresen pesisir pantai Australia.”

Maribyrnong dibuka pada pertengahan kurun lepas, tetapi pada masa sekarang kerap jadi tumpuan kerana berlaku mogok lapar dan bantahan tahanan kerana layanan buruk.

Pada 2017, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia- sebuah badan kerajaan- melaporkan yang pengawal pusat tahanan itu menggunakan “langkah sekatan berlebihan” termasuklah sekatan ketika mengiringi tahanan.

Baki tahanan yang masih berada di situ sudah dipindahkan ke pusat lain.

Menteri Imigresen David Coleman berkata dasar sekarang berjaya kerana mengurangkan tahanan daripada hampir 10,000 orang pada 2013 kepada hanya beberapa ribu sahaja buat masa kini.

Hampir 19 pusat sudah ditutup sejak September 2013- menjelang pilihan raya yang akan berlaku Mei depan dan debat hangat tentang dasar imigresen.

Pakatan pemerintah Liberal berdepan tentangan hebat awam susulan dasar imigresennya yang tidak popular termasuklah penggunaan pusat tahanan pesisir pantai. – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen