Bahaya otak korupsi ala Abdul Rashid


Zainal Rashid Ahmad

APA yang ada dalam kepala Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman sangat sukar difikirkan. Jadi bengong (bodoh kata orang Utara) dan bukan bingung (keliru), ketika mendengarkan ucapannya pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hujung minggu lepas.

Mustahil tanpa akal budi, Abdul Rashid berani berucap penuh bersemangat menyampaikan idea berbau korupsi dan rasuah. Malah, dengan nada berbangga-bangga seolah-olah apabila Bersatu sudah berkuasa dan memiliki kerusi perdana menteri, projek negara boleh disapu sesuka hati.

Seluruh semangat dalam ucapan Penasihat Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang menekan kepada iltizam parti untuk memelihara kepentingan Melayu dan pribumi, hampir dimusnahkan dengan kenyataan korupsi cadangan Abdul Rashid.

Tanpa malu, dalam seragam baju Melayu warna merah tanda simbolik perjuangan Bersatu, Abdul Rashid menyeru dengan dorongan supaya kontrak kerajaan diberikan kepada pemimpin Bersatu di peringkat bahagian. Dalilnya, sebagai usaha meraih kekuatan politik setempat.

Seolah-olah, tanpa projek kerajaan, ketua-ketua bahagian Bersatu akan hilang kesetiaan kepada parti. Atau, tanpa kedudukan kewangan, pengundi akan lari meninggalkan Bersatu.

Cadangan itu secara mendesak meminta ketua-ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan Bersatu diberikan projek Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Kononnya, apabila ketua-ketua dapat projek, mereka akan ada lebih pendapatan. Wang itulah modal mempertahankan kemenangan parti pada PRU15 nanti.

“Dalam pilihan raya kita kena menang by hook or by crook. Saya tengok keadaan sekarang, kita tak dapat pertahan kedudukan sebagai pemerintah. Ketua bahagian ditinggalkan begitu saja.

“Saya juga ketua bahagian, tetapi bernasib baik sebab Dr Mahathir bagi saya kerja, mampu pertahan bahagian saya. Tapi yang lain? Kita usah cakap sombong. Jangan rampas kerja orang dan sebagainya. Ini pandangan yang stupid, bodoh, ” kata Abdul Rashid.

Amat menyedihkan, ucapan berbau rasuah itu menerima sambutan hangat perwakilan pada persidangan di Putrajaya itu. Ini satu lagi titik noda yang mencemarkan imej Bersatu sebagai antara parti utama kerajaan berteraskan Malaysia Baharu.

Nasib baik, maruah PAT Bersatu diselamatkan ucapan bantahan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hari yang sama. Nada keras menteri belia dan sukan itu menegaskan, anak muda Pemuda Bersatu menolak budaya kronisme dan korupsi.

Pemuda Bersatu sedar, betapa rakyat sangat trauma dengan budaya kronisme tinggalan Umno dan BN.

Media sosial turut heboh dan dipenuhi kritikan awam mengenai idea Abdul Rashid. Kenyataan berbau korupsi itu tidak boleh diterima kerana sebagai naib presiden, mentaliti Abdul Rashid akan dinilai sebagai sikap Bersatu.

Sangat memalukan pemimpin kanan dalam Bersatu boleh bersikap segelojoh itu. Memang padan dimaki hamun netizen yang terkejut beruk mendengar permintaan rasuah itu.

Sebagai bekas pengerusi Suruhjaya Pilihanraya (SPR) dan bukan sisa pemimpin Umno, Abdul Rashid sepatutnya membangkitkan isu rakyat. Bukan isu tembolok sendiri.

Suara menentang terus bergema dalam Pemuda Bersatu. Ketua Penerangan Ulya Aqamah Husamudin menempeleng balas dengan sinis cadangan berbahaya itu.

“Armada (Pemuda) tidak akan berdiam diri jika tahu mengenai sebarang penyelewengan kuasa dalam parti. Kita akan tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Cabaran kami sebagai sayap Pemuda ialah merintis perubahan pemikiran Melayu supaya berintegriti dan ada amanah. Justeru, perlu cari cara lain untuk menjana kewangan parti.”

Maruah PAT Bersatu yang dicemarkan Abdul Rashid, akhirnya diselamatkan anak muda. Itu realiti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) minggu lalu.

Abdul Rashid barangkali tidak minat berpolitik. Atau tidak reti berpolitik. Atau buta politik.

Namun, sikapnya tidak boleh dimaafkan. Abdul Rashid mahu menyuburkan semula budaya “sapu projek” dengan memperalatkan kedudukan kuasa politik sebagai cara merompak projek negara.

Ulya turut membidas corak pemikiran kolot berbau korupsi dengan menjelaskan: “Harus ada cara lain untuk menjana pendapatan parti bagi membiayai program berkaitan demi manfaat masyarakat setempat.”

Dahsyat! Seorang Abdul Rashid ini. Ucapan semborono hampir memusnahkan imej parti Bersatu yang dibangunkan atas kesedaran menentang rasuah dan kemungkaran politik.

Tidakkah dia sedar, Umno dan BN musnah kerana korupsi!

Korupsi ialah kudis yang telah bernanah teruk dalam otak dan hati orang Melayu Islam.

Justeru, adalah tanggung jawab Bersatu untuk merawatnya! – 2 Januari, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen