Jimmy Carter beri amaran kemelut AS-China boleh cetus Perang Dingin


Bekas presiden AS Jimmy Carter mencadangkan Amerika Syarikat dan China bekerjasama membangunkan Afrika untuk membaiki hubungan kuasa besar dunia itu. – Gambar AFP, 2 Januari, 2019.

BEKAS presiden AS Jimmy Carter pada Isnin memberi amaran yang Perang Dingin dengan China boleh tercetus dan menggesa kuasa besar dunia mencari titik persamaan dalam pembangunan Afrika.

Dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-40 terjalinnya hubungan dengan pemimpin China Deng Xiaoping pada Januari 1979, Carter meluahkan kebimbangan tentang situasi dua negara yang masing-masing menganggap satu sama lain sebagai ancaman.

“Jika pegawai tinggi kerajaan menerima cadangan merbahaya ini, Perang Dingin moden antara dua negara tidak dapat dielakkan,” kata bekas presiden berusia 94 tahun itu dalam The Washington Post.

“Pada masa sensitif, salah tanggapan, salah percaturan dan kegagalan mematuhi peraturan hubungan dalam kawasan seperti Selat Taiwan dan Laut China Selatan boleh menjadi konflik ketenteraan, mencetuskan kebinasaan di seluruh dunia,” katanya memberikan amaran.

Carter yang menghabiskan usia selepas jadi presiden memperjuangkan penghapusan kemiskinan berkata “jalan termudah” untuk kerjasama antara AS dan China adalah di Afrika.

“Kedua-dua negara sudahpun terlibat di sana untuk melawan penyakit, membina infrasruktur dan mengekalkan keamanan- kadang-kala bekerjasama. Tetapi masing-masing masih menuduh berlakunya ekploitasi ekonomi atau manipulasi politik,” kata Carter.

“Warga Afrika- seperti berbilion orang lain diseluruh dunia- tidak mahu dipaksa memilih pihak (perlu disokong).”

“Dengan bekerjasama dengan Afrika, AS dan China juga akan membantu diri mereka menghapuskan ketidakpercayaan dan membina kembali hubungan penting ini,” tulisnya.

AS kerap memberi amaran kepada negara membangun tentang bantuan China, menuduh Beijing menarik negara tersebut ke jerat hutang.

Ketegangan AS-China memuncak pada 2018 kerana perbalahan perdagangan, walaupun Donald Trump sudah menangguhkan rancangan kenaikan tarif dan pada Sabtu lalu melaporkan wujud “progres besar.” – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen