‘Bayi ajaib’ diselamatkan daripada runtuhan bangunan Rusia


Pihak berkuasa mengenal pasti bayi 10 bulan itu sebagai Ivan Fokine yang menghabiskan masa bermalam bawah runtuhan dalam suhu negatif 27 darjah selsius. – Gambar AFP, 2 Januari, 2019.

PENYELAMAT Rusia semalam mengeluarkan seorang bayi yang cedera tetapi masih hidup daripada runtuhan sebuah bangunan apartmen di mana beliau menghabiskan masa bermalam di bawah suhu bawah beku selepas letupan gas yang membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang.

Berpuluh-puluh penduduk masih hilang, pihak berkuasa mengenal pasti bayi 10 bulan itu sebagai Ivan Fokine dan berkata beliau sudah disatukan dengan ibunya yang juga selamat dalam letupan itu.

“Keajaiban Tahun Baru berlaku!” kata Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan yang menamakan bayi tersebut dalam tragedi di bandar perindustrian Magnitogorsk, hampir 1,700 kilometer dari timur Moscow di kawasan pergunungan Ural.

“Ibu bayi tersebut masih hidup. Beliau berada di hospital dan mengenal pasti anak lelakinya,” tambahnya.

Bayi itu dibawa ke hospital di Moscow dengan “kecederaan serius” dengan kaki beku, kecederaan kepala dan patah tulang, kata Kementerian Kesihatan pula.

Beliau akan dipindahkan ke hospital di Moscow untuk rawatan pakar.

Pasukan menyelamat memuatnaik sebuah video penyelamat perlahan-lahan memindahkan dinding konkrit bangunan sembilan tingkat yang runtuh itu dan mengeluarkan bayi tersebut yang dilihat mengelipkan matanya sebelum diselimutkan dan dikejarkan ke hospital.

Fokine ditemui selepas penyelamat menangguhkan usaha mencari mangsa kerana bimbang seluruh blok bangunan akan runtuh.

“Pasukan penyelamat mendengar tangisan,” kata Gabenor Chelyabinsk Boris Dubrovsky dalam pesanan Telegram.

“Bayi itu selamat kerana berada dalam buaian dan memakai pakaian tebal.”

Fokine selamat daripada persekitaran malam yang mencecah bawah suhu 27 darjah selsius, lapor agensi berita Tass.

Blok apartmen era Soviet itu menjadi rumah kepada hampir 1,100 orang.

Letupan memusnahkan 35 unit dan merosakkan lebih 10 unit, menurut pihak berkuasa. Penduduk yang kehilangan rumah ditempatkan di sekolah terdekat.

Sembilan orang sah maut, semuanya orang dewasa.

Enam ditemui selamat, antaranya seorang budak lelaki berusia 13 tahun, 32 lagi masih hilang.

Menempuh suhu sejuk beku, penyelamat bekerja sepanjang malam Tahun Baru, mengalihkan runtuhan batu, besi dan cuba menstabilkan dinding yang masih bertahan.

Kerajaan tempatan mengumumkan tempoh berkabung sehari hari ini, dengan bendera dikibarkan separuh tiang dan sambutan Tahun Baru dibatalkan.

Presiden Vladimir Putin melawat tempat kejadian pada Isnin.

Pada Selasa, presiden berjumpa pasukan kecemasan untuk berterima kasih kerana usaha mereka.

Pihak berkuasa Rusia semalam berkata tiada kesan bahan letupan ditemui setakat ini, ketika khabar angin bertiup kencang letupan itu disebabkan serangan pengganas.

Kebimbangan itu timbul kerana wujud sebuah lagi letupan gas di bandar Magnitogorsk yang membunuh tiga orang.

Tiada kaitan ditemui antara dua letupan itu, kata pihak berkuasa.

Penyiasat sudah membuka siasatan jenayah ke atas kejadian tersebut yang didakwa FSB, pasukan perisikan Rusia, kerana letupan gas.

Letupan gas kerap berlaku di Rusia, di mana banyak bangunan adalah tinggalan era Soviet dan peraturan keselamatan jarang dipatuhi. – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen