Netflix sekat satira komedi kecam Arab Saudi


Gergasi siaran dalam talian itu menyekat episode “Patriot Act with Hasan Minhaj” di Arab Saudi selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat berkata ia melanggar undang-undang jenayah siber negara itu. – Gambar AFP, 2 Januari, 2019.

NETFLIX menyekat sebuah episod komedi satira yang mengkritik Arab Saudi selepas pegawai kerajaan negara itu membuat aduan, menimbulkan persoalan baharu tentang batasan kebebasan bersuara dalam talian, lapor akhbar Financial Times semalam.

Akhbar itu melaporkan yang gergasi siaran dalam talian itu menyekat episode “Patriot Act with Hasan Minhaj” di Arab Saudi selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat berkata ia melanggar undang-undang jenayah siber negara itu.

Dalam episod itu, Minhaj- seorang warga Amerika beragama Islam berketurunan India- mengecam Arab Saudi selepas pembunuhan wartawan Washington Post Jamal Khashoggi dalam konsulat Saudi di Istanbul.

Beliau secara terus mengecam Putera Mahkhota Mohammed bin Salman dan kempen ketenteraan diketuai Saudi di Yaman.

Senat AS pada Disember lalu meluluskan dua resolusi simbolik menyalahkan putera itu kerana pembunuhan itu, selepas laporan risikan menunjukkan Putera Mohammed bertanggungjawab dan menggesa AS menghentikan penglibatan dalam konflik Yaman.

Permohonan mendapatkan reaksi Kementerian Penerangan Saudi dan Netflix masih tidak berbalas.

Tetapi, Financial Times berkata Netflix mempertahankan keputusan itu dengan berkata: “Kami teguh menyokong kebebasan artistik di seluruh dunia dan hanya memadamkan episod tersebut di Arab Saudi selepas menerima permohonan yang sah- dan untuk patuh kepada undang-undang tempatan.”

Episod itu masih boleh ditonton di seluruh dunia- dan di Arab Saudi menerusi YouTube.

Platform dalam talian dan syarikat teknologi berdepan tekanan hebat ketika kontroversi yang menghakis kepercayaan awam kerana perkongsian data dan privasi pengguna semakin giat berlaku.

Oktober lepas, badan pemantau media Reporters Without Borders meletakkan Arab Saudi pada kedudukan 169 daripada 180 negara untuk kebebasan media, menambah yang “ia bakal jatuh lebih rendah pada 2019 kerana keganasan dan salah laku dilakukan ke atas wartawan.”

Selepas mengeluarkan kajian tahunan mengenai kebebasan internet, sebuah lagi badan pemantau, Freedom House pada November berkata Arab Saudi adalah antara negara yang mengupah “tentera troll” untuk memanipulasi media sosial dan dalam kebanyakan kes menenggelamkan bantahan.

Minhaj, 33, adalah salah seorang pelawak yang sedang meningkat naik, menggunakan sejarah peribadi dengan komentar isu semasa. “Patriot Act” mula disiarkan pada Oktober 2018. – AFP, 2 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen