TALIBAN membincangkan “situasi pasca pendudukan” Afghanistan bersama Iran dalam pertemuan terakhir mereka, kata kumpulan itu pada hari Selasa, ketika Tehran mengusahakan proses keamanan secara terbuka selepas wujud kemungkinan penarikan diri Amerika Syarikat.
Kenyataan itu tampil selepas Iran mengesahkan pada hari Isnin bahawa Taliban telah melawat Tehran bagi kali kedua untuk rundingan selama beberapa hari bertujuan untuk mengakhiri konflik yang berlarutan selama 17 tahun.
Delegasi Taliban dan Iran membincangkan “keadaan pasca-pendudukan, pemulihan keamanan di Afghanistan dan rantau ini,” kata jurucakap militan itu dalam sebuah kenyataan yang disiarkan di media sosial di samping menghantar e-mel kepada wartawan.
Kenyataan itu menandakan keyakinan yang semakin meningkat di kalangan Taliban bahawa tentera AS akan keluar sepenuhnya dari Afghanistan, selepas pegawai AS bulan lepas memberitahu di pelbagai saluran media bahawa Presiden Donald Trump membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah tentera di sana.
Terdapat laporan pada sebelum ini mengenai rundingan antara Iran dan Taliban, namun pihak republik Islam itu biasanya menafikannya.
Tekanan untuk mewujudkan keamanan oleh Tehran itu diteliti rapi oleh Washington, yang bimbang rancangan Trump yang mahu menarik tenteranya dari Syria dan Afghanistan akan memperkuat pengaruh Iran di rantau itu.
Taliban juga sebelum ini dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Amerika Syarikat, Pakistan dan Arab Saudi di Emiriah Arab Bersatu pada awal Disember lalu sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik untuk menamatkan perang.
Bagaimanapun Taliban enggan bertemu dengan delegasi dari Afghanistan. Kumpulan itu berkata pada hari Sabtu, bahawa perwakilannya tidak akan bertemu dengan “pentadbiran Kabul” pada mesyuarat seterusnya yang dijangka akan diadakan di Arab Saudi akhir bulan ini. – AFP, 1 Januari, 2019.
Komen