PENYOKONG Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menggesa Perlembagaan negara itu dipinda bagi membolehkan beliau kekal berkuasa sebaik sahaja penggal kedua pemerintahannya berakhir pada 2022.
Pihak yang menyokong Abdel Fattah, mahu Parlimen meminta artikel Perlembagaan yang mengehadkan tempoh jmemegang awatan presiden selama dua penggal berturut-turut atau empat tahun sahaja.
Abdel Fattah dipilih semula menjadi presiden pada Mac lalu dengan meraih undian 97%.
Sokongan yang disuarakan menerusi ruangan kolumnis akhbar rasmi kerajaan Al-Akhbar itu menyatakan hasrat rakyat untuk menyaksikan pembaharuan politik dengan menjamin kuasa Abdel Fattah.
Penulis ruangan itu Yasser Rizk yang juga pengarah akhbar, berkata langkah tersebut mampu menjaga kepentingan rakyat dari sudut pemulihan keselamatan, kestabilan dan ekonomi selepas Abdel Fattah membuktikannya sejak lima tahun lalu.
Katanya pindaan Perlembagaan itu boleh diluluskan pada pertengahan tahun ini.
Abdel Fattah yang mengetuai tentera untuk menggulingkan bekas Presiden Mohamed Morsi pada 2013, memenangi jawatan tertinggi Mesir itu pada tahun berikutnya.
Kerajaan beliau bagaimanapun dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi ekoran corak pemerintahan kukuh besi.
Selain melancarkan operasi ke atas kumpulan penentangnya, Abdel Fattah juga mengarahkan kempen memerangi militan Daesh di Semenanjung Sinai.
Pada November 2017, sebelum dipilih semula menjadi presiden, Abdel Fattah memaklumkan beliau tidak akan menduduki jawatan itu bagi penggal ketiga.
Namun selepas kemenangan besar pada pilihan raya Mac 2018, persoalan sama ada Abdel Fattah mahu terus berkuasa kembali menjadi perbahasan umum. – AFP, 1 Januari, 2019.
Komen