KOREA Utara yang memiliki senjata nuklear mahu menjalin hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) namun ia juga turut mempertimbangkan mengubah pendekatan jika Washington masih mahu mengekalkan sekatan ke atasnya, kata Kim Jong Un memberi amaran dalam ucapan tahun baharunya pada hari Selasa selepas 12 bulan persefahaman diplomatik.
Pada sidang kemuncak bersama Presiden AS Donald Trump di Singapura pada bulan Jun tahun lalu, kedua-dua pemimpin itu menandatangani ikrar yang tidak jelas menyebut mengenai program denuklearisasi Korea Utara.
Namun kemajuan yang dilihat baik itu terhenti apabila kedua-dua pihak Pyongyang dan Washington masing-masing memberi tafsiran sendiri mengenai apa yang dimaksudkan daripada persefahaman itu.
“Jika Amerika Syarikat gagal laksanakan janjinya kepada dunia ... Dan tetap tidak berubah berhubung sekatan dan tekanannya terhadap DPRK…” kata Kim, “kita mungkin terpaksa meneroka jalan baharu untuk mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan utama negara kita “.
Jong Un turut berkata beliau sanggup bertemu Trump pada bila-bila masa, katanya, “bagi menghasilkan keputusan yang dialu-alukan masyarakat antarabangsa”.
Pihak Korea Utara turut menuntut pelepasan sekatan - ia tertakluk kepada beberapa langkah mengenai senjata nuklear yang dilarang dan program peluru berpandu balistik - di samping mengutuk desakan AS mengenai pelucutan senjata nuklearnya dengan menyifatkan tindakan itu sama dengan tindak-tanduk “samseng”.
Washington sedang berusaha untuk mengekalkan langkah-langkah menentang Korea Utara sehingga program “denuklearisasi” berakhir dan disahkan sepenuhnya.
Ucapan Kim “menyatakan kekecewaannya mengenai ketiadaan kemajuan mengenai rundingan itu setakat ini”, kata bekas Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Hyung-seok. – AFP, 1 Januari, 2019.
Komen