Tiada kepentingan untuk beri ruang siaran kepada PAS, kata Salleh


Diyana Ibrahim

Salleh Said Keruak berkata kerajaan bagaimanapun akan mempertimbangkan permintaan itu secara teliti. – Gambar The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2017.

KERAJAAN akan timbang kemungkinan memberi ruang kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan amanat politiknya yang kontroversi melalui televisyen tetapi keutamaan sekarang ialah menubuhkan terlebih dulu suruhanjaya diraja menyiasat peristiwa Memali, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak

“Bagi saya apa yang telah diminta tersebut (siaran langsung di televisyen) tidak berbangkit pada ketika ini.

“Pada saya isunya sekarang adalah Memali, bukannya Amanat Hadi,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur hari ini.

Salleh berkata buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Hadi atau PAS untuk mendapatkan slot menjelaskan ucapan presiden PAS itu yang dibuat 36 tahun lalu

Beliau mengulas permintaan Hadi agar diberikan ruang dan peluang bersiaran secara langsung selama satu jam melalui mana-mana televisyen tempatan untuk menjelaskan amanat politiknya yang kontroversi sejak tiga dekad lalu

Hadi mengulangi permintaan itu melalui anaknya, Muhammad Khalil seperti dipetik oleh Sinar Harian semalam.

Salleh berkata PAS sendiri yang menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat peristiwa Memali dan kerajaan akan menelitinya jika ada permintaan rasmi.

“Kerajaan akan melihat permintaan ini secara teliti sebaik saja mendapat memorandum daripada pihak berkenaan kerana itu yang penting,” katanya.

Mengulas pelbagai pendapat yang disuarakan oleh banyak pihak mengenai kewajaran penubuhan suruhanjaya itu, Salleh berkata ia reaksi yang normal apabila ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju.

“Secara prinsipnya bagi saya keadilan itu boleh dilewatkan tetapi tidak boleh dinafikan. Kita tak boleh nafikan. Mereka harus melihat perkara itu dalam konteks sedemikian,” katanya

Amanat Hadi merupakan petikan ucapan presiden PAS itu dalam ceramah di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April, 1981 yang dipegang ahli PAS di seluruh negara pada ketika itu.

Ucapan itu dianggap titik penting dalam politik Melayu pada dekad 1980-an yang menyaksikan perpecahan terburuk orang Melayu sehingga melibatkan tuduhan kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan pulau-memulau dalam kegiatan masyarakat termasuk urusan jenazah.

Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor berkata siasatan suruhanjaya Diraja ke atas peristiwa Memali hanya akan mendedahkan peranan presiden PAS sebagai punca tragedi yang membunuh 18 nyawa itu.

Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri ketika itu turut menuding kepada Hadi mengatakan amanat politiknya mempengaruhi pemikiran yang kemuncaknya membawa kepada kejadian di Memali.

Pengaruh Amanat Hadi itu juga disebut dalam Kertas Putih Peristiwa Memali yang dibentangkan di Parlimen pada Februari 1986.

Dalam insiden pada 19 November, 1985 itu guru agama Ibrahim Mahmood atau Ibrahim Libya terbunuh bersama 13 pengikut yang mempertahankannya daripada ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Empat anggota polis turut terbunuh.

Perdana Menteri Najib Razak semalam berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada akan menubuhkan RCI kes Memali kerana perlu menimbang pelbagai faktor. – 25 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen