POLIS antipengganas Britain menyiasat beberapa serangan tikaman di stesen kereta api Manchester yang berlaku pada sambutan ambang Tahun Baharu 2019.
Kejadian itu berlaku di stesen Manchester Victoria kira-kira pukul 8.50 malam waktu tempatan apabila ramai penduduk keluar untuk menyertai sambutan itu.
Tiga orang mangsa disahkan cedera dalam kejadian itu termasuk seorang anggota polis, dan tahap kecederaan mereka dianggap serius tetapi tidak membahayakan nyawa.
Polis Greater Manchester (GMP) dalam kenyataannya berkata seorang suspek lelaki kerana disyaki cuba membunuh dan mengisytiharkan serangan itu sebagai insiden kritikal.
Penolong Ketua Konstable GMP Rob Potts berkata siasatan kes itu diketuai oleh polis antikeganasan dan pegawai menyiasat sebarang kemungkinan berhubung kes itu.
Sambutan tahun baharu tetap diteruskan di Dataran Albert walaupun dibayangi insiden serangan itu dan polis meningkatkan kawalan di lokasi tersebut.
Pada Mei 2017, dunia digemparkan dengan serangan bom bunuh diri di Manchester yang menyaksikan 22 orang terbunuh dan 139 mangsa cedera dalam serangan di konsert penyanyi Amerika Syarikat Ariana Grande di Manchester Arena.
Pengebom bunuh diri itu, Salman Abedi, 22, lahir dan membesar di Manchester. – AFP, 1 Januari, 2019.
Komen