TINDAKAN hampir kesemua pemimpin kanan Umno Sabah keluar parti mungkin melumpuhkannya namun ia masih belum mampu memusnahkan parti di negeri itu.
Ketua pemudanya Abdul Aziz Julkarnain berkata, pembelotan itu memberi ruang untuk kelahiran semula Umno Sabah dengan muka baharu kini boleh menngambil alih tampuk kepimpinan, membawa semangat baharu perjuangan dalam Umno.
“Ia juga merupakan proses pembersihan. Generasi muda merasakan sudah tiba masanya mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh mereka yang keluar parti.
“Tiada lagi warlord. Tiada lagi bagasi dari pemimpin kanan mereka. Kita bebas untuk membentuk semula parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pada 12 Disember lalu, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), lima ahli Parlimen, dua senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah meninggalkan parti dan menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap pemimpin atasan parti.
Kumpulan itu diketuai oleh pengerusi perhubungannya Hajiji Mohd Noor yang turut mendakwa 50% daripada 500,000 ahli Umno Sabah sudah meninggalkan parti.
Jawatan Hajiji kini diganti oleh Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin.
Dua wakil rakyat Umno di Sabah yang tinggal adalah Bung Moktar dan Adun Sibuga yang juga bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah, Musa Aman.
Pelantikan Bung Moktar sebagai pengerusi perhubungan baru menyaksikan kedudukanya sebagai ahli Parlimen Kinabatangan melonjak.
“Beliau melakukan dengan baik. Beliau merupakan pejuang sebenar yang tidak goyah apabila diuji dengan kekalahan,” kata Abdul Aziz.

Abdul Aziz percaya pemimpin politik yang baik perlu belajar untuk menerima kekalahan agar mereka boleh terus berkembang.
“Dengan melarikan diri…saya rasa mereka hanya menambahkan kekalahan dalam hidup mereka,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan Umno Sabah diambang kemusnahan berikutan pembelotan itu.
Buat masa ini, kebanyakan bahagian sudah menggantikan pemimpin yang keluar parti.
“Umno merupakan organisasi yang tersusun dengan baik. Ia tidak akan tumbang. Mereka yang mengambil alih adalah muka baharu, bersemangat dan muda,” katanya.
Abdul Aziz turut menolak dakwaan sayap pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita sudah rosak berikutan pembelotan itu.
“Tiada apa yang berubah. Semuanya masih sama. Benar ada beberapa ketua bahagian keluar parti, tetapi kebanyakan mereka masih kekal dalam parti.”
Beliau juga berkata, mereka yang keluar parti itu bertindak atas kehendak mereka sendiri dan mereka tidak memujuk mana-mana ahli lain mengikut jejak langkah mereka.
“Mereka juga menangis dan dengan berat hati mengumumkan mereka keluar daripada Umno.
“Saya pasti hanya mereka sahaja yang tahu sebabnya. Hanya mereka yang keluar,” katanya.
Ditanya sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang menyatakan hasrat ingin kembali menyertai parti, Abdul Aziz berkata buat masa ini pemimpon baharu hanya menumpukan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15.
“Menyertai Umno semula tidak akan membawa sebarang perubahan, ia tidak akan menjadikan Umno sebahagian daripada kerajaan, ia hanya akan menggoncangkan kapal yang sudah berlayar dengan baik,” katanya. – 3 Januari, 2019
Komen