HAMPIR 200 orang terlibat dalam himpunan menjelang Tahun Baru untuk mendesak kerajaan Pakatan Harapan berundur kerana gagal memenuhi janji pilihan raya.
Diketuai Pemuda PAS, himpunan itu berkata kegagalan kerajaan memenuhi janji adalah pengkhianatan kepada rakyat.
Mereka juga menyalahkan kerajaan kerana kos sara hidup yang tinggi.
Himpunan yang digelar “Hit & Run Derita Rakyat” bermula sekitar jam 9 malam tadi dan tamat sejam kemudian.
Hadirin yang berkumpul di depan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur memegang papan tanda mendesak penurunan harga minyak dan penghapusan PTPTN.
“Jika kita lihat kepada negara yang benar-benar menjunjung demokrasi, dan rakyat memilih parti, tetapi jika mereka (parti memerintah) tak boleh laksanakan janji kepada rakyat, mereka patut berundur,” kata Ketua Pemuda PAS Muhammad Abdul Khalil Hadi.
Katanya, janji pilihan raya seperti menurunkan harga minyak, memansuhkan tol, mengurangkan kos sara hidup dengan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menghapuskan pinjaman pendidikan tidak dipenuhi dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan.
“Ini adalah janji yang mereka kata akan laksanakan dalam 100 hari.
“Kita akan lihat pada 2019…kita tak tahu sama ada janji lain pun akan dilupakan,” katanya.
Katanya, salah satu sebab himpunan itu diadakan hari ini adalah untuk menunjukkan solidariti kepada peneroka luar bandar yang jadi mangsa kerajaan baharu apabila bantuan kewangan dan subsidi mereka ditarik balik.
“Malam ini kita bersama-sama bersolidariti dengan peneroka luar bandar, petani dan nelayan.
“Subsidi mereka ditarik balik. Sudah sampai masanya mereka memilih parti alternatif yang akan menjaga mereka,” katanya.
Himpunan bersurai secara aman sekitar jam 10 malam. – 31 Disember, 2018.
Komen