MUSTAFAR Ali dilantik sebagai ketua eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) selepas khidmatnya sebagai ketua pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tamat hari ini.
Mustafar dalam amanat terakhirnya berkata beliau akan memulakan tugas di NFCC pada 1 Januari 2019.
“Petang tadi saya sudah menerima surat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam meletakkan saya sebagai ketua eksekutif NFCC.
“Kita akan gerakkan satu landskap baru negara kita,” katanya dalam Majlis Amanat dan Paluan Berundur di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut mengenai tugas baharu beliau di NFCC, Mustafar berkata ia adalah kesinambungan daripada tugasnya di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
“Ada persamaan dengan tugas-tugas di SPRM bagi menangani dan berhadapan dengan jenayah kewangan.
“Misalnya melakukan jejak audit, rampasan-rampasan harta dan pengurusan aset. Saya akan jelaskan lebih lanjut bila sudah masuk pejabat baru nanti,” katanya sambil menambah pejabat sementara NFCC terletak di Parcel D5 Putrajaya.
Menurut Mustafar, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Abdul Halim Abdul Rahman akan memikul tugas ketua pengarah JIM buat sementara sebelum penggantinya diumumkan kelak.
Beliau juga berharap penggantinya itu nanti dapat meneruskan transformasi-transformasi yang dilakukan beliau sebelum ini di JIM.
“Saya berharap apa jua perkara yang telah dilaksanakan sebelum ini, dapat dilanjutkan oleh bakal ketua pengarah yang akan dilantik kelak. Banyak lagi kejayaan boleh dicipta,” ujarnya. – 31 Disember, 2018.
Komen