Larangan merokok jejas penduduk miskin Sabah, kata menteri negeri


Jason Santos

Pengendali tempat makan pula boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika tidak menaikkan papan tanda “Dilarang Merokok”. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Disember, 2018.

SABAH tidak akan menguatkuasa larangan merokok diperkenal Putrajaya di semua tempat makan awam yang bermula esok, sebaliknya akan menunggu keputusan Kabinet negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Jaujan Sambakong.

Katanya, Sabah perlu mempertimbangkan situasi “ramai penduduk Sabah yang miskin” dan merokok serta tidak mampu membayar denda yang tinggi.

“Perkara ini perlu dibincangkan dengan mendalam.

“Bayangkan jika mereka didenda, adakah mereka akan mampu bayar denda yang besar itu? Ramai yang akan dipenjara, tak muat penjara kami,” katanya kepada The Malaysian Insight hari ini.

Mereka yang melanggar peraturan larangan merokok di tempat makan awam itu boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Pengendali tempat makan pula boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan jika tidak menaikkan papan tanda “Dilarang Merokok”.

Untuk kesalahan gagal meminta pelanggan berhenti merokok, pengendali tempat makan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) sudah melakukan rondaan untuk menghebahkan peraturan baharu itu di Sabah, walaupun kerajaan negeri sebelum ini berkata mereka tidak akan melaksanakan peraturan tersebut.

Kenderaan KKM dilihat berada di beberapa tempat di bandar mengumumkan larangan baharu itu.

Jaujan berkata kerajaan negeri juga mempunyai langkah lain untuk mendidik dan mengawal perokok yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Sabah nanti.

Datuk Bandar Kota Kinabalu yang baharu dilantik Nordin Siman yang ditemui juga bersetuju yang peraturan baharu itu hanya boleh dilaksanakan dengan arahan kerajaan negeri.

“Negeri ada peruntukan sendiri dan walaupun ia undang-undang persekutuan, kuasa ke atas premis perniagaan terletak di bawah kerajaan tempatan, dan dalam kes kita, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu terletak di bawah Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Stephen Wong juga berkata larangan itu perlu disemak oleh Kabinet Sabah sebelum dilaksanakan.  – 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen