Hujan lebat jejas kem pelarian di sempadan Syria-Turki


Sejak 22 Disember, sekurang-kurangnya 22 kem pelarian dilanda banjir manakala 67 lagi terjejas teruk susulan hujan lebat di wilayah kem Atme. – Gambar EPA, 31 Disember, 2018.

SUSULAN hujan lebat, sekurang-kurangnya 32,000 orang awam yang tinggal dalam khemah di sepanjang sempadan Turkish-Syria kini menunggu bantuan kemanusiaan, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu.

Sejak 22 Disember, sekurang-kurangnya 22 kem pelarian dilanda banjir manakala 67 lagi terjejas teruk susulan hujan lebat di wilayah kem Atme, menurut data yang dikumpul oleh Koordinator Intervensi Syria, sebuah pertubuhan bukan kerajaan tempatan yang berikrar untuk membantu orang awam.

Sekurang-kurangnya 220 khemah musnah manakala 550 lagi ditenggelami air.

Um Huseyin, seorang penduduk di kawasan kem itu, berkata dia dan isterinya telah diselamatkan dengan bantuan jiran mereka.

“Ketika ini kami tinggal di masjid. Jiran kami membawakan sarapan. Malah baju yang saya pakai inipun adalah pemberian jiran-jiran. Saya kesejukan,” katanya.

Huda Kasim, ibu kepada seorang bayi berusia empat bulan, berkata mereka turut berlindung di masjid itu bersama-sama 25 keluarga lain. 

“Kami kelaparan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Halit Abdo, 70, berkata dia telah menyelamatkan anak-anaknya daripada banjir dengan membawa mereka di bahagian belakangnya.

Paras air naik sehingga dua meter, katanya.

Usma Kasim berkata antara keperluan paling utama di kem itu ialah khemah. 

“Ubat-ubatan, pakej makanan dan selimut” merupakan keperluan mendesak yang lain, katanya.

Syria telah terjerumus dalam perang saudara sejak awal 2011, apabila rejim Bashar al-Assad mematahkan bantahan penunjuk perasaan dengan keganasan yang tidak dijangka. – Bernama, 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen