SEBUAH hotel dan kasino mewah di Filipina membatalkan rancangan memecah rekod dunia dengan melepaskan ribuan belon sempena Tahun Baru susulan bantahan kumpulan alam sekitar dan amaran kerajaan.
Okada Manila, sebuah hotel mewah di ibu kota negara itu yang mempunyai hotel, kasino dan restoran merancang untuk menyambut 2019 dengan melepaskan 130,000 belon ke dalam salah sebuah kelab malamnya seterusnya memecah rekod dunia.
Tetapi dalam kenyataan lewat malam Ahad, Okada Manila berkata ia membatalkan rancangan tersebut sebagai “menghormati” bantahan kumpulan alam sekitar dan “menyokong kempen kerajaan untuk menyelamatkan alam sekitar”.
Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR) Filipina menyertai kumpulan alam sekitar mengecam rancangan itu, berkata ia akan menghasilkan banyak sisa tetapi mereka tiada kuasa untuk menghentikannya.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua DENR Roy Cimatu menyifatkan keputusan Okada itu “terpuji”.
Katanya lagi, hotel lain juga membatalkan rancangan melepaskan belon menyambut Tahun Baru.
Sebelum ini, Okada Manila bertegas belon tersebut akan dikitar semula selepas majlis.
Sejak kebelakangan tahun ini, membuat Rekod Dunia Guinness menjadi aktiviti popular di Filipina termasuklah antaranya “program jalan kaki amal terpanjang” dan “jumlah burger terbanyak di makan dalam seminit.” – AFP, 31 Disember, 2018.
Komen