MAHKAMAH Agung Bahrain hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas aktivis terkemuka, Nabeel Rajab kerana tulisannya di Twitter yang dianggap menghina kerajaan, kata sumber.
Rajab, aktivis hak asasi berprofil tinggi sebelum ini sudahpun dikenakan hukuman penjara dua tahun berhubung kes lain yang dijatuhkan pada Februari lalu.
Hukuman terbaharu oleh Mahkamah Agung itu adalah muktamad tidak boleh dicabar.
Rajab yang mengetuai bantahan terhadap kerajaan pada 2011, disabitkan dengan kesalahan menghina kerajaan dengan menyebar berita palsu secara sengaja dengan niat jahat di media sosial.
Beliau turut disabitkan dengan kesalahan mengkritik kempen ketenteraan yang diterajui Arab Saudi di Yaman dan secara terbuka menyelar undang-undang negara asing, yang dirujuknya kepada Arab Saudi.
Mahkamah mensabitkan Rajab bersalah kerana membahayakan operasi tentera Bahrain di Yaman. Manama adaah sebahagian daripada pakatan pimpinan Arab Saudi yang menentang pemberontak Huthi sejak 2015.
Di Twitter, Rajab juga mengritik cara Bahrain melayan tahanan.
Pada Januari tahun ini, mahkamah sama mengekalkan hukuman penjara dua tahun ke atas beliau atas kesalahan mengkritik kerajaan.
Bahrain, negara majoriti masyarakat fahaman Syiah, terletak di antara Arab Saudi dan Iran dan diperintah oleh dinasti Al-Khalifa selama lebih dua abad.
Pihak berkuasa Bahrain memenjarakan berpuluh aktivis berprofil tinggi serta membubarkan kumpulan pembangkang agama dan sekular sejak bantahan terhadap kerajaan pimpinan Syiah tercetus pada 2011.
Beratus orang yang ditahan juga dilucutkan taraf kerakyatan. – AFP, 31 Disember, 2018.
Komen