SEKURANG-kurangnya 25 militan Taliban maut selepas Angkatan Udara Afghanistan melancarkan serangan udara di timur wilayah Wardak, 35 kilometer di barat Kabul, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Pertahanan negara itu pada Isnin.
“Sejumlah 25 militan Taliban terbunuh akibat serangan udara yang dilancar berdasarkan satu maklumat sah di dari daerah Sayyed Abad dalam wilayah Wardak pada Ahad,” menurut kenyataan kementerian itu.
Antara yang terbunuh ialah empat komander bahagian Taliban tempatan, menurut kenyataan itu yang menambah enam kenderaan dan tiga motosikal turut musnah dalam serangan tersebut.
Puak bertelagah di Afghanistan sering memperbesar-besarkan jumlah kematian di pihak lawan dan adalah sukar untuk menentukan kesahihannya dengan sumber bebas.
Kumpulan militan Taliban belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan itu. – Bernama, 31 Disember, 2018.
Komen