ANGKA kematian akibat tanah runtuh dan banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat di Filipina telah meningkat kepada 61 orang, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kerajaaan negara itu pada Isnin.
Kematian itu kebanyakannya adalah akibat tanah runtuh di wilayah Bicol dan Visayas Timur di utara dan tengah Filipina, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) dalam laporan terkininya.
Sejumlah 50 kematian telah dilaporkan berlaku di wilayah Bicol manakala 11 lagi di wilayah Visayas Timur.
Laporan agensi itu turut menunjukkan bahawa terdapat 18 orang yang masih hilang di kedua-dua wilayah.
NDRRMC berkata pejabatnya di wilayah terjejas “masih berwaspada dan terus memantau tindak balas yang berterusan di kawasan terjejas.”
Selain itu, agensi tersebut berkata para penyelamat dari pasukan polis, tentera dan agensi kerajaan lain kini menjalankan misi mencari, menyelamat dan mengeluarkan mangsa di kawasan terbabit di bahagian utara dan tengah Filipina.
Lebih 79,000 orang dari 150 kawasan di Filipina terjejas akibat tanah runtuh dan banjir, menurut agensi pengurusan bencana itu.
Selain angin kencang dan hujan lebat, kawasan terbabit mengalami bocoran kuasa.
Beberapa buah rumah tertimbus dalam insiden tanah runtuh itu manakala beberapa seksyen jalan tidak dapat dilalui akibat banjir teruk.
Agensi itu meramalkan bahawa angka kematian mungkin meningkat ketika operasi mengeluarkan mangsa berterusan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Filipina telah menyediakan pek makanan dan barangan bantuan lain kepada keluarga mangsa yang dipindahkan.
Agensi itu turut menyediakan dana bantuan kecemasan bernilai kira-kira 212 juta peso (hampir AS$4 juta). – Bernama, 31 Disember, 2018.
Komen