PM Bangladesh menang besar, pembangkang desak batal keputusan


Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mengekalkan pemerintahan untuk penggal keempat apabila memenangi pilihan raya umum negara itu semalam. – Gambar fail AFP, 31 Disember, 2018.

PARTI pimpinan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum negara itu walaupun dicemari insiden keganasan dan pembangkang menyifatkan keputusan itu sebagai satu penipuan.

Parti Liga Awami dan sekutunya memenangi 288 daripada 300 kerusi Parlimen dan pembangkang utama yang diketuai Parti Nasional Bangladesh (BNP) hanya memenangi enam kerusi sahaja.

Kemenangan itu menyaksikan Hasina mengekalkan pemerintahan buat penggal keempat, tetapi keganasan yang meragut sekurang-kurangnya 17 nyawa mencemarkan proses demokrasi itu.

Keganasan yang tercetus sukar dikekang walaupun kerajaan mengerahkan kira-kira 600,000 anggota keselamatan di seluruh negara.

BNP menggesa suruhanjaya pilihan raya untuk membatalkan keputusan itu memandangkan kerajaan Hasina giat melancarkan operasi ke atas ahli politik pembangkang.

Jurucakap BNP Syed Moazzem Hossain Alal berkata terdapat keraguan dalam 221 daripada 300 kerusi yang dipertandingkan.

Jurucakap suruhanjaya pilihan raya, S.M. Asaduzzaman mengakui pihaknya menerima beberapa aduan tentang perkara itu dan siasatan sudah dijalankan.

Hasina tidak membalas tuduhan tersebut tetapi sebelum ini menyatakan pilihan raya itu akan berlangsung secara adil dan telus. – AFP, 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen