PAS tidak serius dalam menggulingkan Barisan Nasional (BN) jika ia bertanding di kerusi pembangkang di Selangor, kata Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata fokus pembangkang ialah untuk menjatuhkan kerajaan BN dan mereka perlukan semua sokongan.
“Betulkah mereka benar-benar mahu gulingkan BN? Jika mereka hendak bertanding kerusi pembangkang maka mereka tidak serius,” katanya selepas menghadiri forum kesan pelaburan China di Malaysia, malam tadi.
Wan Azizah berkata demikian ketika mengulas mengenai PAS yang mahu bertanding di 42 daripada 45 kerusi Parlimen di Selangor.
Beliau pada masa ini memegang kerusi DUN Kajang selepas memenangi pilihan raya kecil pada 2014, sementara Gombak dipegang Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
Pada masa ini, kerajaan negeri Selangor terbentuk dengan 29 wakil rakyat Pakatan Harapan dan 12 wakil PAS. Bakinya dipegang 11 wakil rakyat BN dan dua Adun bebas.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata parti Islam itu bersedia untuk pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang dan menyediakan calon untuk mengisi semua kerusi disandang BN atau PH.
“Bukan PAS yang memulakan pertandingan tiga penjuru tetapi DAP dan Amanah yang buat kenyataan mereka mahu bertanding di kerusi PAS.
“Pengerusi DAP Selangor Tony Pua buat kenyataan pada 30 Oktober, 2015 yang mereka akan letak calon di kawasan PAS.
“Amanah buat kenyataan akan bertanding di semua kerusi PAS pada 31 Disember, 2015,” katanya dalam satu kenyataan.
Pua sebelum ini berkata DAP akan meletakkan calon di lapan kawasan DUN termasuk Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
Sallehen berkata adalah adil untuk memastikan kerusi PAS tidak terancam dan bersedia berdepan cabaran.
“Berdasarkan data dan fakta, kami mahu tekankan yang kami bersedia meletakkan calon di 42 kerusi,” katanya. – 25 Ogos, 2017.
Komen