Bot karam di Tunisia, 45 migran Afrika terselamat


Pendatang asing Tunisa menaiki bot menyeberangi laut Mediterranean dan menuju ke Eropah untuk mencari peluang kehidupan yang lebih baik. – Gambar EPA, 31 Disember, 2018.

SEJUMLAH 45 migran tidak tersusun warga Afrika diselamatkan dari sebuah bot karam berhampiran Pulau Kerkennah dalam wilayah Sfax di tenggara Tunisia, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Dalam Negeri Tunisia pada petang Ahad.

Bot haram yang membawa migran terbabit, termasuk enam wanita dengan dua daripadanya hamil, didapati berasal dari pekan Zouara, Libya.

Ini merupakan percubaan kedua penghijrahan seumpamanya berjaya dipintas oleh pasukan keselamatan maritim Tunisia dalam tempoh 24 jam.

Sebuah lagi bot dipintas berhampiran pantai Nabeul pada Sabtu, yang membawa lima migran berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun.

Menurut data yang dikeluarkan oleh Forum Tunisia bagi Hak-Hak Ekonomi dan Sosial, jumlah migran tak tersusun yang menyeberangi Mediterranean menuju ke beberapa pantai di Itali adalah melebihi 6,000 orang dalam tempoh Januari hingga November pada 2018, berbanding 569 orang pada 2015. – Bernama, 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen