PEROMPAK yang meletupkan sebuah kedai emas di Segama, Kota Kinabalu gagal membawa lari barang kemas akibat letupan yang kuat, kata Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin.
Mereka tersilap membuat kiraan mengenai bahan letupan yang menyebabkan pintu kedai musnah dan meninggalkan kesan terbakar di bahagian dalam kedai, kata Chan kepada pemberita mengenai kejadian yang berlaku pada jam 2.40 pagi, seperti yang diberitahu oleh polis kepada beliau.
“Polis mengesyaki ia satu cubaan rompakan. Baru sahaja beberapa lepas Jabatan Perangkaan menyenaraikan kadar jenayah di Sabah yang paling rendah di negara ini.
“Saya harap polis dapat mengekalkan rekod ini,” beliau memberitahu The Malaysian Insight.
Turut berada bersama Chan ialah Adun Likas Tan Lee Fat, yang berkata perompak tersebut menggunakan bom paip.
“Apabila berlaku letupan kuat, mereka larikan diri,” katanya.
Ketua Polis Kota Kinabalu Habibi Manjiji dijangka akan mengadakan sidang akhbar mengenai kejadian itu hari ini. – 31 Disember, 2018.
Komen