Mustafar tak tertekan walau orang politik minta lulus projek


SM Amin

Sebagai pegawai kerajaan, Mustafar Ali berkata beliau perlu berani menyatakan perkara yang betul meskipun arahan tersebut datang dari kalangan ahli politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Disember, 2018.

KETUA Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Mustafar Ali tidak berasa tertekan walau sering menerima arahan dari pihak atasan berhubung pengambilan pekerja asing tanpa izin (Pati).

Sebagai pegawai kerajaan, Mustafar berkata beliau perlu berani menyatakan perkara yang betul meskipun arahan tersebut datang dari kalangan ahli politik.

“Ada permintaan untuk meluluskan atau melepaskan sesuatu projek menggunakan kuasa-kuasa politik. Malahan memang ada minit-minit daripada pihak atasan tetapi dengan cara saya, kita buat semakan dahulu. 

“Kalau layak kita luluskan tetapi jika tidak layak, kita akan minitkan balik semula mengapa permohonan mereka ini tidak layak untuk diproses. 

“Pada saya tidak ada tekanan tetapi kita memberikan justifikasi dan juga penjelasan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mustafar memikul tugas berat untuk membersihkan jabatan yang sering dianggap lubuk rasuah itu sejak dilantik menjadi ketua pengarah dua tahun lalu.

Ini memandangkan masalah pendatang asing itu tanpa izin itu terus berlarutan walaupun pelbagai operasi telah dijalankan oleh agensi penguatkuasaan itu.

Tegas Mustafar, sejak menerajui agensi tersebut, beliau tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan salah laku walaupun terpaksa melakukan operasi di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat membeli belah Pavilion di Bukit Bintang.

“Saya tidak menerima sebagai tekanan tetapi saya yang beri tekanan kepada pihak luar yang masih bergelandangan termasuk majikan-majikan.

“Kali pertama Pavilion diserbu, saya tidak peduli. Kalau pekerja-pekerja itu sah bekerja di negara ini, kita tidak ada masalah. Tetapi apa yang ada di sana, kita tangkap 250 orang bila kita buat operasi. 

“Memang saya dapat panggilan daripada sana sini mengapa serbu kawasan itu, sedangkan kawasan itu adalah ikon gedung beli belah mewah. Betul mewah tetapi mereka menggajikan Pati. Saya sudah kata kedaulatan keselamatan (dipertahan) tanpa kompromi,” katanya.

Dengan kekuatan hanya 15,000 orang, imigresen menghadapi kesukaran untuk memantau secara berterusan 1.9 juta warga asing yang bekerja di Malaysia selain individu yang masuk ke negara ini sebagai pelancong, kata Mustafar Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2018.

Namun katanya, tugas untuk membanteras Pati tidak harus dibebankan kepada imigresen sahaja malah ianya memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, dengan kekuatan hanya 15,000 orang, imigresen menghadapi kesukaran untuk memantau secara berterusan 1.9 juta warga asing yang bekerja di Malaysia selain individu yang masuk ke negara ini sebagai pelancong.

“Setengah itu sudah tamat tempoh (dibenarkan tinggal di Malaysia), tidak balik-balik. Perkara ini memang susah, hari ini datang sebagai pelajar, bekerja di pub misalnya, mereka sudah menjadi Pati.

“Mereka datang sebagai pelancong, tetapi jadi pelacur. Kita serbu rumah urut. Yang kita buat adalah mencari orang tetapi bila pergi balik ada lagi,” katanya.

Jelasnya kerjasama perlu dieratkan untuk membolehkan rangkaian kesalahan itu dapat diputuskan.

“Memutuskan rangkaian kesalahan, janganlah mengharapkan JIM sahaja. Kalau spa (rumah urut) perlu ditutup kerana pusat hiburan haram, tutup tempat itu. Bukan kerja JIM tetapi PBT (pihak berkuasa tempatan). 

“Saya sudah cakap dengan KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan PBT, bila kita laporkan PBT tutuplah. Kerja kita mesti bersama-sama,” katanya.

Mustafar menamatkan tugasnya sebagai ketua pengarah imigresen semalam dan akan mengetuai sebuah agensi baharu menangani jenayah wang haram, Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC).

Ia merupakan antara langkah Putrajaya memperkemaskan usaha membanteras rasuah dan penyelewengan. – 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen