Rusia bawa pulang 30 anak anggota IS dari Iraq


Pemimpin Chechen, Ramzan Kadyrov memainkan peranan penting membawa wanita dan kanak-kanak warga Rusia yang dipenjara di Iraq pulang ke tanah air. – Gambar EPA, 31 Disember, 2018.

SERAMAI 30 kanak-kanak warga Rusia yang ibu mereka berada di penjara Iraq kerana terlibat dengan kumpulan militan Islamic State (IS) tiba di Moscow dari Baghdad pada Ahad, kata pihak berkuasa.

Kebanyakan bapa kanak-kanak yang berusia tiga hingga 10 tahun ini, dipercayai terbunuh dalam pertempuran, kata sumber diplomatik Rusia kepada AFP sebelum pesawat mereka berlepas.

“Pesawat kementerian kecemasan Rusia telah mendarat,” kata ketua Chechen, Ramzan Kadyrov di akaun Telegram, sambil menambah ia mendarat di lapangan terbang Zhukovsky di Moscow.

Kadyrov berkata ketibaan mereka adalah “bukti yang tidak dapat dinafikan tentang misi Presiden Rusia Vladimir Putin untuk menyelamatkan wanita dan kanak-kanak di Syria dan Iraq”.

“Sekiranya kita tidak membawa mereka pulang, mereka akan menjadi sasaran perkhidmatan khas negara lain,” katanya.

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital untuk “peperiksaan terperinci”, menurut kementerian kesihatan Rusia kepada agensi berita Rusia, Interfax.

Kadyrov memaparkan klip video pada rangkaian popular Rusia popular VKontakte mengenai keberangkatan kanak-kanak dari Baghdad, sambil menambah 24 daripada mereka berasal dari Dagestan, dan tiga lagi dari Chechnya.

Ribuan warga Rusia mengembara untuk menyertai jihad, menurut anggaran dari perkhidmatan keselamatan Rusia.

Ada yang membawa sekali keluarga mereka.

Sejak tahun lepas, kira-kira 100 wanita dan kanak-kanak - kebanyakannya dari Caucasus yang majoritinya orang Islam - pulang di bawah program yang diusahakan oleh Kadyrov.

Tetapi pada pertengahan November, aktivis Chechnya Kheda Saratova menuduh perkhidmatan keselamatan FSB Rusia menghalang usaha membawa pulang balu dan anak pejuang IS warga Rusia.

“Menurut organisasi kami, terdapat lebih 2,000 yang masih berada di Syria dan Iraq,” kata Saratova, yang berada dalam majlis hak asasi manusia Kadyrov, pada masa itu.

Sementara itu pada Ahad, Perdana Menteri Iraq, Adel Abdel Mahdi mengadakan perbincangan di Baghdad dengan Anna Kuznetsova, wakil presiden Rusia bagi hak kanak-kanak.

Semasa pertemuan itu, Abdel Mahdi berkata “perbezaan harus dibuat antara isu kemanusiaan dan jenayah pengganas”, menurut kenyataan dari pejabatnya.

“Kanak-kanak ini juga mangsa,” katanya.

Lebih 300 orang, termasuk kira-kira 100 warga asing, dijatuhi hukuman mati dan ramai lagi yang lain menjalani hukuman penjara seumur hidup di Iraq kerana menyertai IS. – AFP, 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen