Apa itu punk rock?


Wan Hamidi Hamid

APA nilainya pada yang dikatakan punk rock itu? Pada pakaiannya, gayanya atau bingitnya lagu-lagu yang hampir kesemuanya marah-marah belaka? Atau sesudah lebih 40 tahun, ia hanya sekadar satu genre, malah mungkin sub-genre kepada pengkelasan muzik yang keras bunyi dan nadanya?

Tapi apa pula kemungkinan ia masih menaruh harapan, seperti api dalam sekam, dengan bunyi yang lebih positif dalam memberi satu inspirasi? Mungkin muzik tak mampu mengubah dunia, kata sesetengah orang. Tapi tak mustahil ia menginspirasikan semangat, suara atau aksi untuk perubahan.

Namun, perlukah ia berbentuk muzik yang bingit? Persoalan yang mungkin mampu dijawab atau sekadar menjadi kemerapuan tanpa sebarang asas. Apa pun punk rock telah wujud. Dan masih wujud walaupun sukar dibezakan pop dengan punk hari ini.

Namun, bukankah God Save The Queen juga punyai irama pop? Bukankah Sheena Is A Punk Rocker juga sedap didengar? Dan bukankah White Riot selesa diterima gegendang telinga? Di tanahair tercinta, kita juga punyai Boo Hoo Clapping Song.

Jadi apa itu pop, apa itu punk?

Mungkin jawapannya ada pada jarak masa, tempoh kontemporari dan budaya popular semasa. Tidak banyak bezanya evolusi lagu-lagu pop dengan budaya semasa. Lagu dan gaya nyanyian Elvis Presley dianggap lucah pada pertengahan tahun-tahun 1950-an di wilayah selatan Amerika Syarikat. Begitu juga budaya hippie akhir 1960-an yang mengejutkan masyarakat konservatif dunia.

Maka apa perlu dihairankan jika punk yang meletus di UK pada pertengahan 1970-an telah menjadi bahan yang kontroversi - sekurang-kurangnya itulah yang menjadi mainan media konservatif. Ya media selamanya konservatif walaupun hari ini ia dianggap liberal (kecuali di Malaysia barangkali) berbanding dekad-dekad sebelumnya.

Namun seperti yang diandaikan, lagu-lagu rock n roll, pop a-go- go dan punk, jika didengar semula hari ini, ia seperti kenangan manis. Tak terasa berat, lucah atau kotornya waktu ia mula-mula mengejutkan minda konservatif dahulu. Masa boleh mengubat, boleh merubah penerimaan minda.

Maka itu juga genre hari ini melalui gabungan metal, rap dan punk yang masih bingit dan keharuan bakal menjadi nada kenangan manis pada dekad-dekad mendatang.

Kembali kepada persoalan asalnya, apa nilainya yang dikatakan punk itu? Sama ada ia menjadi inspirasi dari lirik – kerana biasanya sebutan “nyanyian” jarang didengar dengan baik disebabkan raungan, jeritan dan keluhan yang marah – atau dari pakaian yang sudah tidak lagi dibuat sendiri dengan mengoyakkannya sana sini atau memakai pin baju sebagai anting-anting, ia sudah menjadi cebisan sejarah.

Hakikatnya, para peminat dan pemuzik punk tempatan yang sama-sama sempat dengan generasi pertama pada akhir 1970-an atau yang mendapat inspirasi generasi kedua dan ketiga sepanjang 1980-an, kini sudah ramai yang bergelar ayah atau ibu. Mungkin tak melucukan bagi yang mengalaminya – sudah beranak pinak, kalaupun belum bercucu.

Akhirnya jika itu yang menjadi ukuran, maka kebanyakan kita yang bersama genre itu hanya sekadar peminat sosial. Suka-suka saja. Tak kira mereka yang meminatinya sejak akhir 1970-an atau mereka yang baru sangat menemui artifak yang bernama punk itu.

Mungkin jalan akhirnya ialah menyertai ruang paling koservatif dalam hidup dengan menerima hakikat “normal” budaya, adat dan agama – kahwin, beranak pinak, melabur dalam keluarga, masa depan anak-anak dan seterusnya usahakan apa yang patut, lalu akhirnya menanti mati.

Kata-kata “muzik mampu mengubah dunia” hanyalah angan-angan, ujar sesetengah orang. Punk rock juga mungkin dalam kategori yang sama bagi kebanyakan kita.

Namun kita tahu ada lagi insan yang masih menjunjung panji-panji punk dan semangat amalan-buat- sendiri atau DIY. Mereka ini masih enggan menerima hakikat bahawa punk hanya sekadar sub-genre muzik atau picisan. Di luar kerangka, mereka ini dituduh ketinggalan zaman dan masih bermimpi.

Kerana dogma dan kesungguhan, mereka berhak mempersetankan realiti. Kerana bagi mereka, realiti itu propaganda elitis yang dicanangkan oleh kelas pertengahan dan atasan untuk membunuh harapan, impian dan semangat. Untuk mereka yang masih menentang arus ini, salut buat kalian.

Jadi apa itu punk rock? Tak perlu ditanya pun sebenarnya. Punk rock mungkin sekadar fesyen. Dari dulu lagi begitu, walau ada badai menentang. Namun ia tetap fesyen terlebih dahulu, seperti mana genre anak muda yang sebelumnya.

Yang lain-lainnya datang kemudian.

Sama ada punk rock itu punk atau tidak, pedulikan ia. Sama ada ditambah label agama atau apa-apa pun, ia tetap dalam ruang solidariti. Sama ada ia dipedulikan atau tidak, itulah punk. –0 25 Ogos, 2017.

* Wan Hamidi Hamid merupakan wartawan veteran yang mempunyai minat mendalam terhadap muzik rock.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen