15 suspek kes bunuh 2 pendaki wanita dibawa ke mahkamah


Ketua Anti-Pengganas Maghribi Abdelhak Khiam berkata empat suspek utama kes bunuh dua pendaki wanita ditangkap di Marrakesh. – Gambar EPA, 31 Disember, 2018.

PIHAK pendakwa raya Maghribi pada Ahad menyerahkan 15 suspek berkaitan kes pembunuhan dua pendaki wanita Scandinavian di Pergunungan Atlas kepada hakim anti-pengganas, kata peguam negara Rabat.

Pihak pendakwa meminta agar suspek disiasat kerana “menubuhkan kumpulan untuk mempersiapkan dan melakukan tindakan pengganas”, “serangan awal terhadap nyawa” dan “menyokong keganasan”, kata peguam negara itu.

Tujuh tahanan lain akan dirujuk kepada pihak pendakwa dalam beberapa hari, kata kenyataan itu.

Pelajar Denmark, Louisa Vesterager Jespersen, 24, dan Maren Ueland, Norway, 28, ditemui mati di sebuah kawasan pendalaman terpencil di selatan Marrakesh pada 17 Disember.

Kepala kedua-dua wanita itu dipenggal, kata pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Maghribi menahan kira-kira 20 orang berhubung pembunuhan itu, yang dilabelkan sebagai tindakan “pengganas” oleh Rabat.

Antara yang ditangkap ialah lelaki berketurunan Sepanyol-Sweden yang tinggal di Maghribi dan ditahan di Marrakech pada Sabtu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan beberapa suspek.

Empat suspek utama ditangkap di Marrakesh dan anggota sel yang diilhamkan oleh ideologi kumpulan militan Islamic State (IS), kata Ketua Anti-Pengganas Maghribi Abdelhak Khiam kepada AFP.

Tiada seorang pun daripada empat itu mempunyai hubungan dengan ahli IS di Syria atau Iraq, katanya.

Ketua sel yang disyaki adalah penjual jalanan Abdessamad Ejjoud berusia 25 tahun, menurut penyiasat.

Beliau dikenal pasti dalam satu video di mana empat suspek utama melafaz taat setia kepada pemimpin IS Abu Bakr al-Baghdadi, menurut pihak berkuasa.

Pembunuhan itu menggemparkan Norway, Denmark dan Maghribi. Satu lagi video yang tular di rangkaian sosial dikatakan menunjukkan pembunuhan seorang daripada mangsa.

Maghribi, yang banyak bergantung kepada sumber pelancongan, berdepan serangan militan pada 2011, ketika serangan bom di sebuah kafe terkenal di Marrakesh, Jamaa El Fna Square yang membunuh 17 orang dan kebanyakan mereka adalah pelancong Eropah.

Serangan di ibukota kewangan Afrika Utara, Casablanca membunuh 33 orang pada 2003. – AFP, 31 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen