SEKALI pandang, perhimpunan agung tahunan pertama Bersatu sebagai parti pemerintah kelihatan sama seperti musuhnya, Umno. Apatah lagi, Bersatu diwujudkan oleh bekas ahli Umno. Bagaimanapun, ia hanya luaran.
Perwakilan Bersatu memakai baju merah yang sama merah seperti Umno. Mereka mengadakannya di sebuah pusat konvensyen besar di bandar utama.
Ahli lelaki bersongkok memenuhi ruang terbuka sambil menghembus asap rokok, manakala kaum wanita dengan baju kurung berkilauan menjengah gerai menjual batik dan produk kesihatan Melayu. Peniaga di sekitar pintu utama memakai selendang dengan logo bunga raya Bersatu.
Naib presiden membuat ucapan menggesa parti agar memberi kontrak dan pekerjaan kepada akar umbi kerana inilah cara untuk membina populariti dan kekuatan Bersatu.
Bagaimanapun, persamaannya hanya setakat itu. Bagi pemerhati politik dan wartawan yang pernah membuat liputan kedua-dua parti itu, perbezaannya jelas ketara.
Perbezaannya adalah penting bagi rakyat Malaysia yang membayar cukai, kerana ia akan menentukan sama ada Bersatu akan melaksanakan janji mereka untuk tidak menjadi parti politik yang menyalahgunakan dana awam agar terus berkuasa.

“Sekiranya ini Umno, anda akan mempunyai lebih banyak gerai dan lebih banyak orang yang melepak di sana sini bagi menjadikannya meriah,” kata Mohamad Faizul Mohamad Ismail seorang perwakilan dari Teluk Intan, Perak.
“Tetapi kita datang ke sini dengan perbelanjaan sendiri. Tidak seorang pun menaja kami, bukan parti, atau ahli perniagaan,” kata Faizul.
Zaidi Ishak, yang menjual baju Bersatu di bazar, berkata hasil jualan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu tidak setanding dengan Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana jumlah orang ramai yang besar.
Bagaimanapun, menurut Zaidi dan Faizul, khalayak yang ramai itu dibawa dan taja oleh pihak tertentu iaitu ahli perniagaan yang kaya hasil kontrak kerajaan yang diberikan oleh para menteri Umno.
“Setiap kumpulan yang mempunyai lima perwakilan, parti akan menempah satu bilik dengan dua katil. Kami terpaksa berkongsi kos bilik dan bersesak,” kata Faizul berhubung penginapan asas perwakilan Bersatu.
Kebanyakan gerai yang memenuhi koridor PWTC semasa PAU juga adalah jabatan kerajaan. Ini tiada di perhimpunan Bersatu yang hanya terdiri daripada usahawan dan perniagaan swasta, seperti agensi insurans serta umrah.
“Kami mahu para ahli tahu membezakan antara parti dan kerajaan,” kata Ahli Majlis Tertinggi Ulya Aqamah Husmaudin. – 31 Disember, 2018.
Berita penuh di sini

Komen