PERDANA Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dijangka menang besar dalam pilihan raya umum negara itu hari ini yang dicemari keganasan antara penyokong parti bertelagah.
Setakat ini, seramai 14 dilaporkan terbunuh dalam keganasan yang tercetus dalam pilihan raya itu dan parti pembangkang mendakwa berlakunya penipuan undi.
Keputusan awal menunjukkan parti Hasina, Liga Awami selesa mendahului dengan meraih 61 kerusi berbanding satu kerusi untuk pembangkang.
Pakatan pembangkang menyifatkan pilihan raya kali ini penuh penipuan dan menggesa suruhanjaya pilihan raya membatalkan keputusan tersebut.
“Kami menuntut pilihan raya diadakan semula di bawah kerajaan nuetral secepat mungkin,” kata Kamal Hossain yang mengetuai pakatan pembangkang.
Insiden keganasan dan pertempuran antara dua kumpulan penyokong serta kerajaan mengganggu proses pengundian walaupun pihak berkuasa mengerahkan 600,000 tentera, polis dan pasukan keselamatan lain di seluruh negara.
10 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran antara penyokong Liga Awami dan parti pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh (BNP).
Tiga lagi orang ditembak mati kerana cuba menceroboh pusat pengundian.
Seorang anggota polis turut menjadi mangsa keganasan apabila ditembak mati oleh kumpulan bersenjata dari pihak pembangkang.
Hasina, 71, berikrar untuk memacu pertumbuhan ekonomi di negara Asia Selatan itu selain mengalu-alukan pelarian Rohingya dari Myanmar.
Namun pengkritik menuduhnya sebagai pemimpin kuku besi dan menindas pembangkang termasuk pemimpin BNP, Khaleda Zia yang dipenjara selama 17 tahun atas tuduhan rasuah.
Pakatan pembangkan yang diketuai BNP menuduh parti Hasina menggunakan peti undi tambahan dan cara kotor untuk menipu keputusan pilihan raya yang akan diumumkan secara rasmi esok. – AFP, 30 Disember, 2018.
Komen