DR Mahathir Mohamad akan berbincang dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM) dalam masa terdekat bagi mengelakkan masalah bekalan minyak menjelang 1 Januari depan.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan mereka esok jika sesuai dan kita akan mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut,” kata perdana menteri.
Mengulas mengenai tindakan beberapa stesyen minyak yang sudah mula menutup operasi mereka sejak semalam, Dr. Mahathir berkata “Kita akan meneliti perkara ini”.
Pengusaha berkenaan bertindak demikian susulan pengumuman kerajaan awal minggu ini untuk menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari.
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera (Bumipeda) pula menjangka pengusaha stesen minyak tidak akan menambah simpanan dalam tangki menjelang penghujung bulan ini susulan keputusan itu.
Mereka enggan menambah simpanan minyak pada penghujung bulan pada harga yang mahal, dan seterusnya menjual mengikut kadar lebih murah berkuat kuasa 1 Januari akan datang.
Pengusaha ini enggan menanggung kerugian dan ini akan menyebabkan pengguna bakal berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel.
Sistem apungan harga mengikut bulanan yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional membolehkan mereka beroperasi dengan membuat keuntungan jualan bagi menampung kos.
PDAM sehingga kini masih lagi menjalankan rundingan dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengurangkan impak kepada pengusaha minyak susulan pengumuman itu. – 30 Disember, 2018.
Komen