PENGEDARAN beberapa akhbar utama Amerika Syarikat (AS) terjejas akibat serangan siber yang dipercayai dilakukan dari luar negara itu.
Akhbar LA Times melepoarkan, serangan siber yang pada mulanya disangka berpunca akibat masalah sistem pelayan, menyebabkan rangkaian komputer di Tribune Publishing yang menghubungkan proses pencetakan dan pengeluaran mengalami gangguan.
Disebabkan itu, penghantaran akhbar LA Times dan San Diego Union Tribune edisi Sabtu mengalami kelewatan.
Turut terjejas adalah pengedaran edisi Persisiran Barat untuk akhbar New York Times dan Wall Street Journal yang dicetak di kilang pencetakan LA Times.
Laporan itu berkata tidak dapat dipastikan jumlah pelanggan akhbar yang terjejas tetapi majoriti pembaca LA Times menerima akhbar mereka lewat beberapa jam.
Memetik sumber kerajaan, siasatan berhubung insiden itu masih dijalankan untuk memastikan sama ada serangan siber itu dilakukan oleh pihak luar atau dalam negara.
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri mengesahkan menerima laporan serangan siber itu dan sedang menjalankan siasatan dengan kerajaan dan pihak terlibat. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen