Buat masa sekarang Malaysia perlukan Sosma, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Muhyiddin Yassin, presiden Bersatu yang juga menteri dalam negeri berkata buat masa sekarang Malaysia perlukan Sosma. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 Disember, 2018.

PUTRAJAYA akan mengekalkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) buat masa sekarang bagi memastikan kestabilan negara, kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu yang juga menteri dalam negeri itu berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri yang dimansuhkan pada 2012 tidak akan digubal kembali.

“Kita takda hajat untuk bawa balik ISA… sebab selepas pemansuhan ISA, kita ada SOSMA.  Ada orang minta Sosma dimansuhkan tetapi ada keperluan ia wujud.

“Tetapi, kita sudah tubuhkan jawatankuasa (untuk menilainya) dan ada juga keperluan untuk pindaan dilakukan,” katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan masih memerlukan Sosma untuk keselamatan negara jika tidak orang akan merasakan Malaysia adalah sebuah negara bebas sepenuhnya dan mereka boleh berbuat apa sahaja mereka mahukan yang boleh mengancam keselamatan.

“Mereka ini adalah yang termasuk dalam kategori kumpulan pengganas dan ada juga kumpulan gangster besar.

“Kumpulan ini akan fikir yang mereka boleh buat apa sahaja mereka mahu yang boleh beri kesan buruk kepada negara.”

Muhyiddin berkata negara ini adalah aman dan menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk mempertahan serta menghormati undang-undang yang sedia ada selain menurutinya.

“Kita perlu lakukan apa yang mampu tetapi jangan menongkah arus dan melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang. Saya berharap semua orang mematuhi Perlembagaan.

Beliau erkata dengan undang-undang yang sedia ada termasuk Akta Himpunan Aman, ia masih boleh dikuatkuasakan oleh polis atau pihak keselamatan yang lain.

“Ini bagi memastikan negara kita kekal aman untuk masa kini dan akan datang. – 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen