Mukhriz cadang satu ahli satu undi dalam pemilihan Bersatu


SM Amin

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2018.

SETIAP ahli Bersatu perlu diberi peluang untuk mengundi dalam sistem baharu dalam pemilihan parti akan datang, kata timbalan presidennya Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata beliau yakin sistem satu ahli satu undi itu tidak boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk mengubah undian.

“Saya sangat yakin dengan sistem yang bakal kita gunakan, yang tidak mungkin boleh disalahgunakan ataupun keputusan itu boleh dimanipulasi mana-mana pihak.

“Maka saya sendiri ingin mencadangkan supaya kita benar-benar pertimbangkanlah untuk memberi kuasa kepada kepimpinan di peringkat cawangan, bahagian mahupun di peringkat tertinggi parti, biarlah diserahkan bulat-bulat kepada semua ahli Bersatu,” katanya.

Dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di PICC hari ini, menteri besar Kedah itu akui terdapat kebimbangan untuk menggunakannya apabila melihat pemilihan PKR yang menggunakan sistem yang sama.

“Ada dalam kalangan kita yang merasa bimbang kalau kita melihat pengalaman parti rakan komponen Pakatan Harapan yang lain, yang juga mengamalkan pendekatan yang sama agak cempera.

“Saya hendak yakinkan, jangan bimbang pasal pengundian itu kerana kita akan laksanakan yang terbaik, lebih baik daripada parti yang satu lagi,” katanya.

Mengulas mengenai penyertaan wakil rakyat pembangkang terutamanya daripada Umno, Mukhriz memberi jaminan pimpinan tertinggi parti akan mengambil pandangan pimpinan di bahagian terlebih dahulu.

“Saya tahu ada bahagian yang rasa risau sebab kecundang kepada mereka (ahli Parlimen atau Adun Umno) dalam PRU14 lalu. Sekarang hendak menerima mereka masuk Bersatu mungkin satu perkara yang sukar,” ujarnya. – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen