Gunung Agung meletus, hambur debu


SEBUAH gunung berapi di pulau percutian Bali, Indonesia meletus hari ini, menghamburkan debu ke ruang udara di kawasan perkampungan berhampiran.

Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan arahan kepada pelancong agar keluar dari kawasan terjejas bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Gunung Agung meletus beberapa kali sejak mula aktif pada 2017 yang menyebabkan beratus-ratus penerbangan dibatalkan serta 120,000 pengunjung terkandas.

Pada Ahad, gunung berapi itu yang terletak kira-kira 70 kilometer dari hab pelancongan Kuta, menghamburkan debu selama tiga minit.

Pusat kajian gunung berapi Indonesia meminta penduduk berhampiran gunung serta pelancong dan pendaki tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius empat kilometer dari lokasi gunung.

Pada 22 Disember lalu, letusan gunung berapi Anak Krakatoa mencetuskan tsunami di pulau Jawa dan selatan Sumatera, menyebabkan 426 maut dan lebih 7,000 mangsa cedera.

Dalam kejadian hari ini, beberapa perkampungan di Bali diselaputi debu nipis tetapi tiada lava dikesan dari lahar gunung berapi itu dan tiada arahan berpindah dikeluarkan.

Kali terakhir Gunung Agung meletus dengan kuat adalah pada 1963, menyebakan kira-kira 1,600 orang terbunuh. – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen