Siaran stesen televisyen Bangladesh disekat siar proses pilihan raya


Syarikat swasta Jamuna TV berkata sekatan itu bermula sejak lewat Sabtu dan dipercayai dilakukan oleh kerajaan dalam menyekat kebebasan media. – Gambar Twitter, 28 Disember, 2018.

SEBUAH syarikat televisyen terkemuka Bangladesh dipercayai dikenakan sekatan penyiaran oleh kerajaan ketika negara itu melalui proses pilihan raya yang dicemari keganasan.

Syarikat swasta Jamuna TV berkata sekatan itu bermula sejak lewat Sabtu dan dipercayai dilakukan oleh kerajaan dalam menyekat kebebasan media.

“Pengendali penyiaran mengeluarkan siaran Jamuna TV tanpa memberi sebarang penjelasan kepada kami,” kata ketua pengarang berita syarikat itu, Fahim Ahmed.

“Kami masih bersiaran tetapi tiada siapa di Bangladesh boleh menonton rangkaian kami kerana ia disekat,” katanya.

Bagaimanapun siaran rangkaian syarikat itu masih boleh ditonton menerusi dalam talian.

Syarikat penyiaran yang dimiliki oleh Kumpulan Jamuna itu, merupakan antara syarikat media terbesar di Bangladesh dan turut mengeluarkan surat khabar sendiri.

Sekatan itu dipercayai ada kaitan dengan penyertaan seorang ahli keluarga pemilik syarikat itu, Salma Islam yang bertanding sebagai calon bebas menentang calon parti kerajaan yang merupakan ahli perniagaan.

Bagaimanapun pengendali penyiaran di Dhaka berkata siaran Jamuna dihentikan kerana masalah teknikal, bukannya ada kaitan dengan politik.

Semalam, pihak berkuasa mengarahkan pengendali rangkaian telefon untuk menutup perkhidmatan mereka sehingga tengah malam hari ini bagi mengelak penyebaran khabar angin yang boleh mencetuskan keganasan. – AFP, 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen