Melayu perlu kikis gelaran masyarakat bersubsidi, kata Rina Harun


Noel Achariam

Ketua Srikandi Bersatu Rina Haron ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Disember, 2018.

ORANG Melayu sepatutnya tidak lagi digelar sebagai masyarakat ‘bersubsidi’ kerana terdapat pelbagai sumber yang berpotensi untuk dikembangkan oleh kaum itu, kata Rina Harun.

Ketua Srikandi Bersatu itu berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berulang-kali menjelaskan bahawa orang Melayu dan Bumiputera perlu berkerja keras untuk membangunkan negara ini, memperbaiki kedudukan dan tidak mengharapkan bantuan tanpa sebarang usaha.

“Kita mahu orang Melayu menjadi lebih berdikari dan mempunyai mentaliti kelas pertama untuk membolehkan mereka terus berada di hadapan dan bersaing dengan bangsa lain.

“Ini merupakan keinginan kami untuk memastikan orang Melayu tidak ketinggalan dan hanya berharap pada sokongan orang lain untuk berjaya,” katanya ketika Persidangan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini. 

Rina berkata orang Melayu perlu mengikis pemikiran tidak mampu ke depan kerana dunia hari ini memerlukan setiap orang untuk bekerja keras bagi maju ke hadapan.

“Hany dengan perubahan pemikiran, sikap, pengetahuan dan kemahiran boleh merapatkan jurang ekononi antara kaum.

“Jadi masyarakat Melayu perlu lebih kompetitif dan proaktif dalam pemikiran serta tindakan untuk memastikan peranan kita sebagai sumber modal manusia, penggerak ekonomi dan simbol kebudayaan serta identiti rakyat Malaysia. “

Beliau berkata agenda Bumiputera sudah lama diberi penekanan kerana ia amat penting untuk kestabilan dan kemakmuran negara.

“Oleh itu, Bersatu memainkan peranan untuk membangunkan orang Melayu supaya peranan masyarakat itu di negara ini dilindungi.” – 28 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen