PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mencetuskan kemarahan umum hari ini apabila mendakwa beliau pernah ‘menyentuh’ pembantu rumahnya ketika usia remaja.
Kumpulan hak asasi wanita menyifatkan kenyataan Duterte itu sebagai cubaan merogol dan menggalakan gangguan seksual.
Duterte sering mengundang kemarahan apabila menyentuh isu wanita, termasuk bergurau mengenai isu rogol dan menggalakkan pelacuran.
Dalam kenyataan terbaharunya, Duterte mengimbas kembali detik beliau masih bersekolah dan membuat pengakuan kepada seorang paderi tentang perbuatannya memasuki bilik pembantu rumah yang sedang tidur.
“Saya mengangkat selimutnya dan cuba menyentuh bahagian sulitnya.
“Selepas menyentuhnya, dia terjaga dan saya keluar dari bilik itu,” katanya dalam satu ucapan semalam.
Duterte juga mengakui beliau kembali ke bilik pembantu rumah itu dan cuba mengganggunya.
Parti politik yang memperjuangkan hak wanita, Gabriela mengutuk kenyataan memalukan Duterte itu dan mendesak beliau untuk meletak jawatan kerana mengaku cuba merogol wanita.
Duterte, 73, mengeluarkan kenyataan itu ketika beliau mengutuk Gereja Katolik berhubung dakwaan gangguan seksual ke atas kanak-kanak.
Presiden itu melabel pihak gereja itu sebagai institusi paling hipokrit di negara yang majoriti dianuti oleh penduduk Katolik dan beliau mendedahkan pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika zaman sekolah.
Perbalahan antara Duterte dan pihak gereja tercetus selepas paderi mengecam kempen antidadah yang telah meragut lebih 5,000 orang sejak presiden itu berkuasa.
Kumpulan hak asasi wanita juga menyifatkan kenyataan Duterte itu membahayakan lebih sejuta rakyat Filipina yang bekerja di luar negara sebagai pembantu rumah. – AFP, 28 Disember, 2018.
Komen