India dikecam lambat lancar misi menyelamat 15 pelombong


15 pelombong terbabit sudah terperangkap sejak dua minggu lalu dan harapan menemui mereka hidup tipis. – Gambar AFP, 30 Disember, 2018.

PENYELAM tentera laut India hari ini melancarkan operasi mencari 15 lelaki yang terperangkap lebih dua minggu dalam lombong “lubang tikus” arang batu haram yang dipenuhi air di pendalaman utara India, kata polis.

Pelombong tersebut terputus hubungan sejak 13 Disember lalu apabila air sungai berhampiran melimpah masuk ke dalam lombong haram sedalam 106 meter di negeri Meghalaya.

Tidak ada petunjuk yang mereka masih hidup, ditambah dengan kelembapan misi menyelamat dilancarkan mencetuskan kemarahan awam, tetapi keluarga pelombong masih berharap pelombong berkenaan menemui ruang udara kecil untuk terus hidup.

“Empat belas penyelam tentera laut tiba semalam (Ahad) dan meninjau kawasan lombong. Mereka sedang cuba masuk sekarang,” kata pesuruhjaya polis Sylvester Nongtnger kepada AFP.

Lombong “lubang tikus” melibatkan kerja menggali di tepi bukit dan membina terowong sedalam 1.5 meter untuk sampai ke bekalan arang batu.

Agensi alam sekitar persekutuan mengharamkan kaedah perlombongan itu pada 2014 selepas penduduk tempatan mendakwa ia mencemarkan sumber air bersih dan membahayakan nyawa pelombong.

Tetapi arahan tersebut masih dicabar pemilik lombong dan kerajaan tempataan di Mahkamah Tinggi India, dan amalan itu terus berleluasa.

Kebanyakan pelombong adalah buruh miskin dari negeri jiran.

Pada 2012, 15 pelombong terbunuh selepas terperangkap dalam lombong lubang tikus di Meghalaya. Mayat mereka tidak pernah ditemui.

Tragedi terbaru itu mencetuskan kecaman awam terhadap amalan perlombongan tersebut dan kelemahan usaha menyelamat.

Misi menyelamat terhalang disebabkan kekurangan pam kuasa dan peralatan lain.

Minggu lepas Pasukan Respons Bencana Nasional memohon kerajaan menghantar 10 pam jentera untuk menyedut keluar air sebelum penyelam boleh masuk. Syarikat Coal India milik kerajaan negeri juga menghantar beberapa peralatan dan berpuluh pekerja menyelamat tiba pada Jumaat.

Kelembapan usaha menyelamat itu menyebabkan pengguna media sosial membandingkan misi di India dengan misi menyelamat 13 budak lelaki di Thailand yang memakan masa 18 hari Julai lalu, mereka menyifatkan misi menyelamat pelombong India itu “memalukan”. – AFP, 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen