BEKAS peniaga di Ampang Park masih bertatih mencari tapak baru, setahun selepas diarah keluar dari kompleks beli belah ikonik di Kuala Lumpur itu yang dirobohkan bagi tujuan pembangunan projek transit aliran massa (MRT).
Mereka kini bertebaran menyambung perniagaan dengan menyewa di tempat baru di sekitar Lembah Klang. Ada yang tidak lagi mampu menyewa tapak baru sebaliknya beralih berniaga secara dalam talian.
Namun semuanya hampir senada memberitahu The Malaysian Insight, perniagaan mereka sekarang tidak lagi seperti dulu.
Khairie Yahya, yang hampir dua dekad menjadi pengusaha kabinet dapur, berkata beliau kini bergelut untuk meneruskan perniagaan di Keramat Mall dengan hasil jualan tidak sampai 50 peratus daripada semasa di Ampang Park.
“Selepas Ampang Park tutup, bermulalah kehidupan baru saya di Keramat Mall ini. Rasanya banyak perbezaan bila kita meniaga di kompleks macam Ampang Park yang memang sudah ada nama.
“Walaupun sewa agak mahal (daripada Keramat Mall) tapi ada bisnes. Nak bandingkan dengan tempat baru ini agak mencabar sikit kita kena pelbagai perniagaan dan lebih kreatif untuk dapatkan pelanggan,” kata pemilik Waizuri Home Decor itu kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga simpati dengan beberapa rakannya yang tidak mampu meneruskan perniagaan kerana kekangan kewangan.
“Sewa di tempat lain sekitar KL sangat mahal. Ada yang saya dapat tahu menyewa sampai hujung tahun ini sahaja,” katanya lagi.
Senasib dengannya, pengusaha baju tradisional Rumah Kebaya Azlina Ahmad, 47, berkata perniagaannya seperti biasa tetapi tidaklah semeriah sewaktu di Ampang Park.
Beliau kini hampir tiga tahun membuka kedai di Shah Alam berkata pasaran dan kuasa membeli di tempat baru tidak sama seperti di Kuala Lumpur.
“Di Ampang Park, walaupun orang tidak ramai tetapi kuasa membelinya ada. Di Shah Alam, pusat beli-belah ada macam-macam jadi semua datang bukan untuk membeli.
“Di Ampang Park, saya juga sudah ada pelanggan setia. Mereka yang datang ke sana juga sudah tahu nak beli barang apa. Sangat berbeza berniaga di Shah Alam,” katanya yang telah berniaga lebih sedekad.
Lebih malang buat bekas peniaga busana muslimah, Intan Abdul tidak lagi meneruskan perniagaan.
Beliau berkata, selain sewa yang mahal di Kuala Lumpur, beliau kini hanya fokus berniaga dalam talian secara kecil-kecilan.

“Selepas Ampang Park tutup, saya terus berhenti berniaga. Saya hanya fokus berniaga online kecil-kecilan. Ekonomi kurang memberangsangkan, kuasa beli kurang. Tidak lagi seperti dulu,” katanya.
Selepas dibuka sejak 44 tahun lepas di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak, bangunan ikonik Kuala Lumpur itu diruntuhkan bagi membuka jalan kepada pembinaan stesen Ampang Park Jajaran MRT2. – 30 Disember, 2018.
Komen