2 maut pergaduhan pilihan raya Bangladesh


Kempen pilihan raya Bangladesh selama seminggu dibayangi perselisihan antara penyokong Liga Awami dan aktivis daripada Parti Nasionalis Bangladesh sebagai pembangkang utama. – Gambar EPA, 30 Disember, 2018.

DUA orang terbunuh dalam pergaduhan berkaitan pilihan raya di Bangladesh pada Ahad, kata polis susulan kempen dicemari oleh keganasan.

Seorang lelaki maut ketika polis melepaskan tembakan ke atas aktivis pembangkang yang didakwa menyerang stesen mengundi di bandar selatan Bashkhali.

“Seorang terbunuh akibat kecederaan peluru. Kami melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri,” kata ketua polis tempatan Mohammad Kamal Hossain kepada AFP.

Seorang aktivis parti Liga Awami maut selepas dipukul penyokong pembangkang semasa perbalahan di daerah tenggara Rangamati.

“Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” kata ketua polis tempatan Najibul Islam kepada AFP.

Kematian itu menjadikan enam orang meninggal dunia disahkan pihak polis berhubung keganasan berkaitan pilihan raya pada Ahad yang dijangka menyaksikan Perdana Menteri Sheikh Hasina memenangi penggal keempat.

Kempen selama seminggu ini dibayangi perselisihan antara penyokong Liga Awami dan aktivis daripada Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) sebagai pembangkang utama.

BNP mendakwa lapan aktivisnya meninggal dunia sejak pilihan raya Parlimen yang diumumkan pada 8 November. – AFP, 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen