Penulis lirik ‘Killing Me Softly' meninggal dunia


Norman Gimmel penulis lirik lagu terkenal Killing Me Softly meninggal Jumaat lalu pada usia 91 tahun. Sepanjang hayatnya beliau menang anugerah Grammy dan Oscar untuk pelbagai lagu ciptaannya. – Gambar Wikipedia, 30 Disember, 2018.

NORMAN Gimbel, penulis lirik menang anugerah Oscar dan Grammy lagu “Killing Me Softly With His Song”, “The Girl From Ipanema” dan lagu latar sitcom “Happy Days” meninggal dunia pada usia 91 tahun.

Kematiannya diumumkan Jumaat lalu oleh BMI, yang menyifatkannya sebagai “penulis prolifik dan sangat berbakat” yang akan dirindui oleh kawan-kawan dan peminat di organisasi hak musik.

Gimbel yang berasal dari Brooklyn meninggal dunia di rumahnya di Montecito, California pada 19 Disember, kata anak lelakinya Tony Gimbel kepada The Hollywood Reporter.

Gimbel menang Oscar untuk Lagu Asal Terbaik bersama-sama David Shire untuk lagu “It Goes Like It Goes” nyanyian Jennifer Warnes untuk filem “Norma Rae” pada 1979.

Beliau juga menulis “Killing Me Softly With His Song” nyanyian asal Roberta Flack yang menang Grammy pada 1973. Lagu itu kemudiannya dinyanyikan semula oleh Fugees pada 1990-an.

Pada 1984, penulis lirik itu dimasukkan ke dalam “Songwriters Hall of Fame” yang berkata lagunya muncul dalam lebih kurang 70 buah filem.

Gimbel meninggalkan anak-anaknya, Tony, Nelly, Peter dan Hannah menurut The Hollywood Reporter. – AFP, 30 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen