WARGA Bangladesh mula mengundi hari ini selepas seminggu tempoh berkempen yang didominasi pelbagai keganasan dan dakwaan politikus pembangkang ditekan.
Pengundian bermula pada jam 8.00 pagi waktu tempatan dibawah kawalan ketat keselamatan dalam pilihan raya yang dijangka masih memenangkan Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Hampir 600,000 anggota keselamatan dikerah menjaga keselamatan di seluruh negara- termasuklah di 40,000 pusat pengundian.
Keganasan terbaru berlaku apabila seorang penyokong parti pemerintah didakwa dibunuh oleh penyokong parti pembangkang utama Parti Nationalis Bangladesh (BN) dan sekutunya, Jamaat-e-Islami.
“Dia diserang dengan batu. Dia meninggal dalam perjalanan ke hospital,” kata Mohammad Niamutullah, ketua polis Patia kepada AFP.
Kematian terbaru itu membawa kepada empat orang setakat ini yang disahkan polis sejak tempoh berkempen diumumkan pada 8 November lalu, ia merupakan pilihan raya ke-11 negara itu sejak merdeka pada 1971.
BNP mendakwa lapan penyokongnya terbunuh.
Sekitar 104 juta pengundi akan memilih antara pakatan diketuai parti Hasina, Liga Awami dan gabungan pembangkang diketuai BNP yang baru berpakat tiga bulan lalu.
Tinjauan dalam talian menunjukkan Hasina yang memerintah ketika pertumbuhan pesat ekonomi dan tidak dicabar sejak berdekad lamanya tetapi juga dituduh mengamalkan pentadbiran autokratik bakal menang sekali lagi.
Beliau memerlukan 151 kerusi dalam sistem siapa pertama menang untuk menang Parlimen yang ada 300 kerusi tetapi pengkritik berkata kemenangan itu akan dicemari dengan dakwaan yang beliau menekan kempen pesaingnya.
Pembangkang berkata lebih 15,000 penyokongnya ditahan seterusnya melumpukan gerak kerja akar umbi.
Human Rights Watch dan pelbagai badan antarabangsa mengecam penahanan itu, berkata ia mewujudkan persekitaran ketakutan yang menghalang rakyat menyatakan sokongan mereka secara bebas.
Amerika Syarikat turut meluahkan kebimbangan dan PBB mendesak usaha dibuat untuk menjadikan pilihan raya lebih adil.
17 calon pembangkang ditahan yang disifatkan sebagai ancaman dan 17 lagi hilang kelayakan diisytiharkan mahkamah yang dikawal Hasina.
Pihak berkuasa juga mengarahkan pengendali komunikasi menutup perkhidmatan 3G dan 4G sehingga tengah malam Ahad “untuk menghalang penyebaran khabar angina” yang boleh mencetuskan kekecohan.
Pusat mengundi ditutup pada jam 4 petang waktu tempatan. – AFP, 30 Disember, 2018.
Komen