RAKYAT kekal marah dan meluat pada Umno dan Barisan Nasional (BN). Walaupun selepas tujuh bulan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu.
Tahap kebencian meningkat kerana selepas kejatuhan rejim Najib Razak, banyak skandal terbongkar. Ura-ura skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dana bardaulat, akhirnya satu kebenaran – RM42 bilion wang negara sudah diperkosa. Sisi gelap Najib dan Jho Low menampakkan kebenaran.
Kes sudah diseret ke mahkamah. Namun, Najib tidak berdiam diri. Malah, memainkan peranan cukup aktif di media sosial.
Awalnya, media sosial jadi tempat bekas PM itu membela diri. Namun kini, Najib menginjak popular di Facebook. Ulasan-ulasannya mengenai isu ekonomi dan dasar kewangan negara menerima banyak respons awam.
Sebagai bekas PM dan menteri kewangan, Najib ada asas menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Najib celik dan cerdik ekonomi. Pengikut Facebook Najib meningkat dengan mendadak melepasi angka tiga juta.
Ketika berkuasa, angkanya hanya sejuta lebih. Suara Najib mula didengar.
Mengapa? Tentulah kerana isu ekonomi masih menjadi titik kelemahan PH. Tindakan menangani masalah kos sara hidup dan merancakkan sektor pekerjaan masih satu kelemahan ketara.
Rakyat masih diselubungi kesempitan hidup selepas tujuh bulan mengubah kerajaan. Malah, pertumbuhan 2018 yang dijangka pada paras 5.5% kini diunjur hanya pada 4.9%.
Sama seperti era Najib, PH kini berdepan dengan kemelut kerana ekonomi dunia sangat yoyo dan flip flop.
Isu harga minyak kembali menghantui kerajaan PH apabila dalam tempoh lima bulan terakhir ini, harganya menjunam daripada AS$80 ke AS$53 setong.
Secara purata, tiap kejatuhan AS$1 per tong, kerajaan kerugian RM300 juta setahun. Kejatuhan sekitar AS$27 dalam lima bulan ini, menyebabkan kerajaan kehilangan AS$6 bilion.
Teori domino harga minyak dijangka berlarutan pada tahap kritikal pada suku pertama 2019. Langkah pengurangan pengeluaran minyak hanya akan melantunkan semula harga pasaran pada suku kedua tahun depan.
Tarikh 9 Mei 2018 meninggalkan sejarah kerana BN tumbang setelah 61 tahun berkuasa. Cuma, keraiannya kini nampak mulai berpada-pada.
Rakyat, sama ada pro PH atau BN sebenarnya mahu terus melangkah ke depan. Walaupun 75% pengundi Melayu bersama BN dan PAS dalam PRU lalu, sifat sebagai rakyat tentunya mahu move on demi negara.
Makan bendera parti
Sebanyak 80% pengundi Cina dan 70% pengundi India yang menyokong PH juga rakyat biasa yang mahu move on.
Tiada guna politiking berpanjangan. Rakyat tidak akan hidup dengan hanya makan bendera parti. Rakyat tidak makan gaji melalui parti.
Justeru, rakyat berharap parti yang dipilih bekerja kuat melestarikan ekonomi negara. Itu kunci utama harapan rakyat sekarang.
Namun, dengan kejatuhan harga minyak dan kedudukan ringgit yang kekal melemah sejak melepasi paras RM4.15 per AS$1, ada tanda-tanda jelas, iklim tidak sihat nilai ringgit akan berlarutan ke tahun 2019.
Apalagi, dihantui kejatuhan harga komoditi sawit dan getah. Semua kesan ini meletakkan landasan ekonomi negara di selekoh yang berbahaya.
Ia diburukkan lagi dengan sentimen dingin hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Malaysia marah terhadap keengganan China memberi kerjasama dalam proses penangkapan Jho Low. Manakala, China pula marah kerana semua projek mega era Najib dibekukan.
Hubungan dengan Singapura juga dalam keadaan sedikit terbius. Malaysia marah kerana Singapura tidak membuka ruang terhadap siasatan 1MDB bagi aset dan transaksi melibatkan bank-bank Singapura.
Manakala, Singapura tersinggung kerana isu bekalan air bersih yang kini diugut sebagai tindakan balas.
Soal diplomatik, kita serah kepada kebijaksanaan pemimpin. Mereka sebagai kerajaan tentulah bijak menangani dasar luar yang komprehensif dan dinamik.
Cuma rakyat berharap, apa saja gerak dan percaturan dalam dasar-dasar kerajaan haruslah mengambil kira manfaat dan nasib rakyat. Sehari dua, sebulan dua hingga tujuh bulan sekarang, rakyat masih bersabar menantikan perubahan.
Isu ekonomi
Sekiranya keadaan ekonomi negara kendalian PH sama macam BN, rakyat akan merasa wal asal balik asil. Dibuang khadam diupah okui. Dua-dua sama dangkalnya.
Pastikan dasar-dasar PH kekal fokus terhadap isu kos sara hidup rakyat. Secara jelas, rakyat masih tersepit teruk sama seperti keadaan tiga tahun terakhir pemerintahan BN.
Akses untuk barangan asas masih mahal. Pasar basah dan pasaraya mega masih menjadi mimpi ngeri. Harga barangan asas tetap menjadi satu trauma setiap kali rakyat berbelanja.
Kedua, isu peluang pekerjaan. Kadar penganguran kekal sama sejak sebelum PRU14.
Angka 3.4% pengangguran bukan angka sihat dalam indek pengangguran global. Kerajaan PH kena bekerja keras supaya anak muda terus mendapat peluang pekerjaan.
Pengumuman pelaburan asing mencanak naik RM39 bilion tahun ini, hanya akan jadi angka jenaka. Sekiranya rakyat tidak nampak kesan kebanjiran dana asing dalam manifestasi nyata ekonomi negara.
Dulu, pada era BN, angka-angka ini disendakan sebagai stimulasi. Jangan sampai nantinya, angka-angka yang tidak memberikan impak nyata ini juga dipersenda sebagai angka stimulasi kerajaan PH.
Melayu Islam
Ketiga, ketenteraman awam. Ini impak sosial. Memandangkan PH dibina fraksi empat parti utama berpusat di Semenanjung (PKR, DAP, Bersatu dan Amanah) serta sokongan Warisan di Sabah, keamanan seharusnya isu nyata. Bukan simbolik semata-mata.
Tanpa sokongan 75% pengundi Melayu yang masih bersama BN dan PAS, ia harus dilihat sebagai cabaran yang harus bijak ditangani kerajaan.
Sekiranya PH ingin menghapuskan Umno dan PAS yang menguasai undi Melayu, buktikan ketika berkuasa.
Rakan-rakan gabungan PH terutama yang yang bukan Islam dan Melayu perlu mengawal kenyataan umum dan tindakan awam mereka untuk tidak memusuhi Melayu dan Islam.
Sekiranya PH kekal tidak mesra Islam dan Melayu, selama itulah Umno dan PAS kekal relevan.
Selagi PH membiarkan isu agama dan bangsa dijadikan peluang untuk Umno dan PAS bertindak balas, sokongan Melayu Islam akan kekal menipis.
Secara umumnya, rakyat marhaen masih mudah diperdaya dengan sentimen kaum dan agama. Kita sudah melihatnya dalam 2018. Malah, membawa maut!
Lihatlah ke hadapan. Orang politik terutama pemimpin PH, terutama yang terpilih dalam Kabinet, hendaklah sedar: Rakyat mahu melangkah terus ke depan. Politik ialah alat menjana kemajuan demi kelestarian hidup yang lebih baik untuk negara.
Politik pula satu bencana. Jauhi politiking melampau serta elakkan jaguh kaum wujud dalam era PH menjanjikan Malaysia Baharu.
Politiking kini musuh utama PH. Sekiranya faksi pelbagai parti terus bertelagah dalam PH, 2019 akan jadi tahun rakyat melahirkan kebosanan. Ekonomi pula akan makin teruk dan kos sara hidup kekal memburuk.
Maka, PH dan BN akan dianggap hantu politik yang serupa! – 30 Disember, 2018.
* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen