PELAKSANAN dasar Agenda Bumiputera mesti menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan dinikmati oleh semua peringkat masyarakat, kata Muhiyiddin Yassin
Presiden Bersatu berkata dasar itu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Jika dasar ini mempengaruhi daya saing negara, ia bukan Agenda Bumiputera.
“Jika dasar ini menggalakkan amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, ia bukan Agenda Bumiputera.
“Dan jika dasar ini membataskan peluang yang adil kepada kaum lain untuk maju dan berjaya, itu bukan Agenda Bumiputera,” katanya semasa Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin berkata dalam semangat Malaysia Baharu, mereka mesti menyedari penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil dan saksama adalah penting untuk mewujudkan kemakmuran bersama.
“Kami mahu orang Melayu maju dan semua kaum lain juga maju dan kami juga tidak akan mengambil sebarang hak daripada kaum lain untuk berjaya.”
Beliau berkata ini adalah satu daripada ideologi Bersatu dalam usaha ia memperjuangkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.
“Ini bukan agenda berasaskan kaum tetapi agenda nasional.
“Kami tidak prejudis terhadap kaum lain. Kami yakin potensi kami sendiri.
“Kami percaya orang Melayu boleh bersaing, berdikari dan maju.
“Kami percaya orang Melayu boleh bekerjasama dengan kaum lain. Apa yang kita mahu capai adalah keseimbangan, keadilan dan perpaduan, bukan kebencian, ketidakadilan dan ganguan kaum.”
Ahli Parlimen Pagoh itu mengatakan agenda ini perlu dirangka dengan penglibatan semua pihak.
“Kami akan melibatkan entiti ekonomi Melayu, komuniti perniagaan, pemain industri, ahli korporat, pakar ekonomi, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan anggota Pakatan Harapan.
“Apabila Agenda Bumiputera yang baharu dilaksanakan nanti, kami mahu ia mendapat sokongan semua pihak.”
Muhyiddin berkata bagi memastikan kejayaan Agenda Bumiputera, orang Melayu perlu mengubah sikap mereka.
“Perubahan sikap orang Melayu dan Bumiputera adalah komponen penting dalam Agenda Bumiputera yang akan kami laksanakan.
“Tanpa perubahan sikap, apa jua dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan membantu orang Melayu dan Bumiputera maju.
“Kita mesti menerapkan nilai amanah, ketekunan, disiplin, keberanian, kecekapan dan semua nilai mulia dalam kehidupan orang Melayu, barulah mereka akan berjaya.” – 30 Disember, 2018.
Komen