AUSTRALIA melucutkan kerakyatan seorang penduduknya yang disyaki anggota kumpulan militan Islamic State (IS) paling dikehendaki Neil Prakash, individu ke-12 yang mempunyai dua kewarganegaraan dikatakan ada kaitan dengan pengganas.
Prakash - seorang perekrut kanan untuk IS dikaitkan dengan plot keganasan untuk membunuh warga Australia - sedang berdepan tuduhan di Turki kerana menyertai organisasi itu.
Kerajaan pada 2016 meminta Ankara mengekstradisi Prakash, yang dilaporkan sebelum ini oleh Canberra terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat (AS) di utara Iraq.
“Saya boleh mengesahkan kerajaan Australia memaklumkan Neil Prakash bahawa kewarganegaraan Australia miliknya dilucutkan kerana berkhidmat dengan IS,” kata Menteri Dalam Negeri Peter Dutton dalam satu kenyataan hari ini.
Dilaporkan mempunyai latar belakang India, Fiji dan Kemboja, Prakash menggunakan Internet “untuk mempromosikan ideologi jahat” IS “dan merekrut lelaki, wanita dan kanak-kanak Australia”, kata Canberra.
Dikenali sebagai Abu Khaled al-Cambodi, Prakash meninggalkan Australia pada 2013 dan dikaitkan dengan plot pengganas pada Hari Anzac pada 2015, ketika Australia menghormati ulang tahun kematian mereka yang terkorban dalam perang.
Prakash berkata semasa perbicaraannya di Turki tahun lalu, beliau menyesal penglibatannya dengan IS selepas melihat “wajah sebenarnya”.
Canberra semakin bimbang tentang warga Australia yang pulang ke tanah air selepas berjuang bersama IS di luar negara dan meluluskan satu siri undang-undang keselamatan kebangsaan yang lebih ketat beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini termasuk undang-undang yang memboleh mereka hilang kerakyatan jika mempunyai pasport negara lain. – AFP, 30 Disember, 2018.
Komen